fbpx

UCL: Real, Ancelotti kongsi impian besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REAL memburu gelaran ke-15 dalam saingan UCL berdepan Dortmund untuk terus membuktikan mereka adalah pakar saingan pentas Eropah. - AFP

MADRID – Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti dianggap sebagai pakar perlawanan akhir dan jurulatih paling berjaya dalam sejarah Liga Juara-Juara dengan empat kejuaraan dan berpeluang melebarkan rekod tersebut awal pagi esok.

Skuad kendaliannya akan turun ke Wembley untuk menentang Borussia Dortmund pada aksi final dan kemenangan bakal menyaksikan Ancelotti mengumpul gelaran kelima kejohanan peringkat kelab paling berprestij di Eropah selain dua lagi trofi dijulang ketika bergelar pemain.

Bagaimanapun, secara peribadi Ancelotti mengakui dua aksi final yang dilalui masih menghantuinya sehingga kini iaitu ketika skuad kendaliannya, AC Milan tewas kepada Liverpool pada aksi di Istanbul pada 2005.

Selain itu, ketika bergelar pemain juga beliau pernah berdepan kekecewaan menentang Liverpool pada aksi final 1984 sewaktu bermain untuk AS Roma walaupun ketika itu tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan.

“Saya sudah melalui pelbagai emosi dalam saingan Liga Juara-Juara. Saya mengecapi perasaan yang cukup hebat sebagai pemain dan pengurus, namun pernah juga melalui detik sukar.

“Saya tidak boleh lupa ketika tewas kepada Liverpool pada 1984 sewaktu bermain untuk Roma. Kemudiannya, berdepan lawan sama, saya tewas ketika bersama Milan pada 2005 di Istanbul.

“Namun, saya juga mempunyai banyak kenangan manis. Bersama Real, kami sekali lagi melangkah ke final, perasaan gementar itu ada, tetapi kami tidak akan benarkan ia menguasai diri,” katanya.

Tambahnya, Los Blancos memerlukan kerja keras berpasukan dan membina kekuatan melalui keseimbangan antara pemain muda dan berpengalaman menyebabkan sentuhan Luka Modric serta Toni Kroos masih dianggap relevan bagi beliau.

Dalam pada itu, Ancelotti percaya Dortmund memiliki kekuatan istimewa dan memandang rendah kemampuan jaguh Jerman itu hanya akan membuat Real berdepan padah.

“Mereka layak berada di pentas final kerana berjaya mempamerkan aksi luar biasa sejak pusingan awal, malah berjaya menewaskan Atletico Madrid dan Paris Saint-Germain.

“Mereka juga adalah sebuah pasukan yang solid dan penuh dengan pemain yang hebat. Cara mereka bertahan ketika menentang PSG sangat luar biasa dan mengejutkan saya,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI