fbpx

Ekonomi negara berkembang 4.2 peratus suku tahun pertama 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ekonomi Malaysia dijangka berkembang melebihi paras lima peratus pada suku kedua tahun ini. - Gambar hiasan

PETALING JAYA – Ekonomi negara dilaporkan berkembang 4.2 peratus pada suku tahun pertama 2024, meningkat daripada 2.9 peratus pada suku tahun sebelumnya didorong peningkatan penggunaan isi rumah dan pemulihan eksport berikutan permintaan luaran yang lebih tinggi.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) disokong oleh pasaran buruh yang stabil, kadar pengangguran yang rendah dan peningkatan kedatangan pelancong yang mana meningkatkan aktiviti berkaitan pelancongan juga perbelanjaan modal yang lebih tinggi daripada kedua-dua sektor swasta dan awam.

Malah katanya, KDNK pelarasan musim meningkat 1.4 peratus suku tahun ke suku tahun, dengan kadar pertumbuhan bulanan meningkat 4.8 peratus pada Januari, 5.0 peratus pada Februari dan perlahan kepada 2.9 peratus pada Mac 2024.

Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, menerusi imbangan pembayaran, Imbangan Akaun Semasa (CAB) Malaysia pada suku tahun pertama 2024 merekodkan RM16.2 bilion, berbanding RM10.8 bilion pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

“Lebihan yang lebih tinggi ini didorong oleh eksport bersih akaun Barangan. Dari segi pelaburan, Pelaburan Langsung Asing (FDI) di Malaysia mencatatkan aliran masuk bersih yang lebih rendah sebanyak RM5.5 bilion berbanding RM9.2 bilion pada ST1 2023.

“Sementara itu, Pelaburan Langsung di Luar Negeri (DIA) mencatatkan aliran keluar bersih yang lebih tinggi sebanyak RM11.5 bilion berbanding RM6.3 bilion pada ST1 2023,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, meninjau prestasi sektor luaran iaitu perdagangan barangan Malaysia pada suku tahun pertama 2024, jumlah dagangan kembali pulih untuk mencatatkan peningkatan 7.1 peratus tahun ke tahun selepas penurunan tiga suku tahun berturut-turut.

Jelas Mohd. Uzir, aktiviti eksport dan import bertambah baik berbanding ST1 2023 masing-masing mencatatkan 2.2 peratus dan 13.1 peratus, manakala lebihan dagangan menyusut 46.8 peratus.

“Prestasi perdagangan pada Mac 2024 meningkat 5.1 peratus daripada RM232.6 bilion pada bulan yang sama tahun lalu kepada RM244.5 bilion, dipacu oleh peningkatan dua digit dalam import (+12.5 peratus), walaupun eksport menyusut 0.8 peratus.

“Lebihan dagangan pada Mac 2024 merosot 52.0 peratus daripada tahun sebelumnya kepada RM12.8 bilion.

“Pada April 2024, jumlah dagangan tumbuh 12.1 peratus, dengan eksport pulih sebanyak 9.1 peratus dan import meningkat 15.6 peratus, manakala imbangan dagangan menurun 39.0 peratus tahun ke tahun,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI