Oleh AZAHAR HASHIM
KULIM – Seorang anggota polis cedera pada kepala ketika bergelut dengan seorang lelaki yang merupakan individu dikehendaki polis bagi kes ugutan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 34 tahun itu cedera akibat terkena torehan pisau lipat dan terpaksa menerima lima jahitan pada kepala.
Menurut sumber, suspek berusia 42 tahun datang ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan tentang isterinya yang tidak pulang ke rumah sejak 12 Julai lalu.
“Ketika suspek membuat laporan, anggota di kaunter aduan balai meminta kad pengenalan dan semakan mendapati lelaki itu merupakan orang dikehendaki polis bagi kes 506 Kanun Keseksaan di Taiping, Perak.
“Isteri suspek pada 12 Julai lalu membuat laporan di Balai Polis Kemunting kerana diugut lelaki itu dengan menggunakan kapak,” katanya.
Ujarnya, suspek yang melihat kehadiran beberapa anggota polis lagi di situ berasa bimbang lalu cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan.
“Suspek bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah pisau lipat dari poket seluarnya untuk mengelak ditahan sebelum terkena pada kepala anggota polis terbabit,” katanya.
Katanya lagi, siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau iaitu dua rekod dadah dan satu ugutan jenayah.
Suspek ditahan reman bermula hari ini hingga 27 Julai depan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian tersebut. – K! ONLINE