fbpx

Henti guna istilah ‘pelakon kayu’ – Rosyam Nor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSYAM minta orang ramai tidak sewenang-wenangnya menghentam pelakon baharu sebaliknya beri mereka peluang untuk berkembang.

PETALING JAYA – Bintang versatil, Datuk Rosyam Nor meluahkan rasa tidak puas hati apabila ada segelintir pihak yang mengkritik kualiti lakonan pelakon baharu dan menggelar mereka ‘kayu’.

Katanya, istilah itu tidak wajar digunakan kerana mereka masih ‘hijau’ dalam industri dan perlu diberikan lebih banyak pendedahan.

“Janganlah mengecam (mengkritik) artis baharu dengan memanggil mereka kayu. Beri mereka peluang dan apabila berada dalam industri, mereka akan tahu bagaimana ‘permainan’ anak seni itu.

“Lama-kelamaan mereka akan berubah. Bagi masa dan peluang untuk mereka membuat perubahan. Saya dulu pun berlakon teruk, kalau lihat semula lakonan saya macam ‘tahi’,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rosyam, 57, berkata, media sosial turut memberi pengaruh besar terhadap kerjaya lakonan dan bakat baharu pada masa kini.

Ujarnya, platform digital itu membuka ruang lebih luas untuk berinteraksi terus dengan khalayak dan mempamerkan kreativiti masing-masing.

“Berbeza dulu dengan sekarang. Dahulu jika mahu tunjuk kebolehan, perlu menyertai pertandingan nyayian atau program pencarian bakat seperti Sinaran Pasport Kegemilangan atau Akademi Fantasia.

“Sekarang hanya dengan menggunakan media sosial boleh tunjukkan bakat sama ada menyanyi, berlakon atau apa sahaja kebolehan seni yang ada. Malah, mereka yang terkenal dalam media sosial  digelar selebriti media sosial,” katanya.

Pelakon filem Memoir Seorang Guru itu turut mengharapkan agar peminat terbuka menerima kehadiran artis baharu terutama mereka yang mula dikenali menerusi media sosial.

“Berbanding dahulu dengan sekarang semuanya sama, cuma zaman sahaja sudah berubah. Dahulu ada artis yang bermula sebagai model majalah kemudian menjadi pelakon.

“Sama juga sekarang apabila daripada media sosial jadi pelakon. Semua itu sama yang berubah hanyalah revolusi media sosial. Dahulu yang ada cuma pelakon filem dan televisyen. Tetapi sekarang pelbagai platform digital tumbuh bagai cendawan.

“Jadi, industri sendiri memerlukan banyak pelapis dan wajah baharu untuk memenuhi semua kehendak itu,” katanya.

Untuk info, Rosyam memulakan kerjaya lakonan pada 1986 apabila pertama kali muncul di layar perak menerusi filem Gila-Gila Remaja. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI