fbpx

Guna aplikasi DELIMa tebus baucar buku RM100

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyalurkan pemberian baucar buku yang melibatkan murid atau pelajar institusi pendidikan bawah kementerian itu bermula pukul 2 petang ini.

KPM berkata, kaedah penyaluran itu adalah menerusi aplikasi DELIMa yang digunakan oleh semua murid dan pelajar.

Katanya, KPM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman pemberian baucar buku RM50 kepada murid Tahun 4 hingga Tahun 6.

“Ini termasuk baucar RM100 kepada murid sekolah menengah, penuntut di institusi pendidikan tinggi dan pelajar di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

“Pengumuman Perdana Menteri mencerminkan keperihatinan beliau terhadap kepentingan menyemai minat membaca dalam kalangan generasi muda.

“Ia juga bertepatan dengan usaha berterusan KPM untuk mempertingkatkan budaya membaca dalam kalangan murid atau pelajar menerusi penganjuran pelbagai program galakan di setiap peringkat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

KPM menjelaskan, kaedah penebusan baucar adalah dengan cara log masuk aplikasi DELIMa menggunakan id/password DELIMa dan klik ikon Kota Buku Digital.

Jelasnya, selepas itu, murid atau pelajar perlu mendaftar akaun di Kota Buku Digital dan kredit akan dipapar di akaun masing-masing.

“Murid atau pelajar kemudiannya boleh memilih judul yang disukai daripada kepelbagaian judul yang ada terutamanya daripada Judul Cadangan Madani.

“Setelah selesai memilih, murid atau pelajar boleh daftar keluar (checkout) dan memilih pilihan bayaran kredit e-kedai (e-store credit).

“Buku yang dibeli akan dihantar terus ke alamat yang didaftarkan dan proses selesai,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI