PETALING JAYA – Kerajaan Madani komited untuk memupuk hubungan antara Malaysia dan China yang menyambut ulang tahun ke-50 hari ini demi kemakmuran rakyat kedua-dua negara dan seluruh rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun terdapat jurang perbezaan ideologi, pemimpin kedua-dua negara berani untuk berfikir di luar kebiasaan.
Ujar beliau, Malaysia juga kekal menjadi sebuah negara bukan sosialis pertama di Asia Tenggara untuk merapatkan jurang itu.
“Pada hari ini 50 tahun yang lalu, Malaysia dan China telah membentuk semula landskap geopolitik Asia. Pada 31 Mei 1974, kedua-dua negara memulakan perjalanan menjalinkan hubungan diplomatik.
“Walaupun terdapat sebab untuk mengelakkannya – jurang perbezaan ideologi kami, perbezaan yang nampak tidak selari – pemimpin kami berani untuk berfikir di luar kebiasaan dan bertindak berani.
“Langkah ini telah berkembang menjadi satu perkongsian yang hebat dan bermanfaat,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau teruja untuk menerima lawatan rasmi Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia bagi meraikan peristiwa bersejarah itu. – KOSMO! ONLINE