TUMPAT – Seorang wanita yang ditemui mati dalam keadaan tergantung di bahagian dapur sebuah rumah di Kampung Dusun Buruk, Temangan dekat Machang Isnin lalu dipercayai mengalami masalah kemurungan.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Datuk Shafien Mamat berkata, mangsa yang berusia 34 tahun dipercayai mengalami masalah itu selepas diceraikan oleh bekas suaminya sejak sebulan lalu.
Katanya, siasatan lanjut turut mendapati, mangsa mempunyai rekod jenayah melibatkan penyalahgunaan dadah sebelum ini.
“Mangsa mengalami tekanan hidup sehingga mengalami kemurungan sebelum membuat keputusan untuk menggantung diri.
“Kita tidak menolak kemungkinan mangsa tertekan dengan kehidupannya termasuk hubungan antara keluarga sehingga menyebabkan wanita tersebut mengalami kemurungan dan membunuh diri, ” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan, seorang tukang rumah yang mahu menghantar makanan kepada bekas isterinya terkejut selepas mendapati wanita itu tergantung di dapur rumah.
Mayat mangsa dijumpai bekas suaminya yang berusia 50 tahun, dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira pikul 11 malam sebelum menghubungi polis.
Dalam perkembangan lain, Shafein berkata, pihaknya sudah mengenal pasti pemilik sebenar senapang jenis AK47 yang dirampas oleh pihak polis di Kampung Bahagia, Kuala Krai pada Ahad lalu.
Katanya, sebelum ini, senapang itu ditemui bersama pasangan suami isteri dan dipercayai digunakan untuk menembak mati dua ekor gajah dua tahun lalu.
“Kita akan melakukan tangkapan dalam masa terdekat untuk membantu siasatan, “katanya.
Kosmo! kelmarin turut melaporkan, sepasang suami isteri ditahan kerana memiliki selaras senapang jenis AK47 yang dipercayai digunakan untuk menjaga kebun di Kampung Bahagia, Kuala Krai.
Dalam serbuan pada pukul 3.10 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan menemui sebanyak 142 butir peluru hidup di dalam rumah pekebun tersebut. – K! ONLINE.