fbpx

Selangor FC benam Sabah FC, mara ke final ‘derbi serumpun’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyerang import Selangor FC, Ronnie Fernandez antara pemain yang diturunkan pada aksi bertemu Sabah FC sebentar tadi. - Foto ihsan Selangor FC

PETALING JAYA – Pasukan Selangor FC meneruskan momentum cemerlang apabila mara ke final kejohanan jemputan ‘derbi serumpun’ anjuran RCTI Premium Sports selepas menewaskan Sabah FC 3-2 pada aksi kalah mati di Stadium Antarabangsa Jakarta sebentar tadi.

Pada perlawanan tersebut, skuad Gergasi Merah kendalian Nidzam Jamil telah membariskan kesebelasan dengan memberi ruang buat pemain-pemain yang jarang mendapat minit permainan sebelum ini.

Antara yang diberi peluang seperti Ahmad Khuzaimi Piee, V. Ruventhiran, Harith Haiqal dan Aliff Haiqal Lau selain pemain import baharu, Reziq Bani Hani.

Kedua-dua pasukan dilihat mempamerkan corak permainan seimbang pada awal saingan tetapi Selangor lebih bijak menyudahkan peluang terhidang untuk mendahului 2-0 pada babak pertama.

Aliff Haiqal mencetak nama selaku penjaring disusuli pemain import The Rhinos, Park Tae-su menampan gol ke gawang sendiri pada penghujung perlawanan sebelum wisel rehat ditiupkan.

Bersambung pada babak kedua, Sabah FC mempamerkan kebangkitan dramatik selepas meraih dua gol pantas hasil penyudah Jafri Chew dan Saddil Ramdani pada minit ke-61 dan 62 perlawanan untuk mengikat kedudukan 2-2.

Namun, kegembiraan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu tidak bertahan lama apabila Yohandry Orozco meledak gol kemenangan berselang tujuh minit kemudian dengan keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Selangor bakal menentang pemenang antara pasukan Persija Jakarta dan PSIS Semarang yang akan bertarung dalam satu lagi perlawanan kalah mati pada kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$30,000 (RM140,000) itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN