MENGINJAK usia 20 tahun, Syaini (bukan nama sebenar) menjalani kehidupan biasa seperti gadis kampung lain. Dia lebih gemar duduk di rumah dan membantu ibunya berniaga di sebuah warung di sebuah daerah di Kedah.
Anak sulung daripada dua beradik itu juga tidak pernah terfikir untuk mendirikan rumah tangga pada usia muda sehingga diperkenalkan dengan seorang pemuda dikenali sebagai Izham (bukan nama sebenar) yang merupakan pilihan keluarganya.
Menurut Syaini, dia pada mulanya berat hati untuk berkenalan dengan lelaki yang berusia lima tahun lebih tua daripadanya itu kerana langsung tidak mengenalinya.
“Namun, keluarga terutama datuk mendesak untuk saya berkenalan dengan lebih rapat kerana dia adalah calon suami saya.
“Datuk dan ibu berkali-kali memujuk dan beritahu bakal suami saya itu seorang yang baik dan mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini.
Katanya, setelah berfikir panjang, dia akhirnya bersetuju untuk mendirikan rumah tangga dengan pemuda tersebut.
“Saya terpaksa akur dengan perkahwinan yang diatur keluarga ini kerana tidak mahu dilabel sebagai anak derhaka.
“Saya dan suami yang merupakan seorang mekanik kemudiannya disatukan pada Januari 2014,” ujarnya.
Katanya, pada awal perkahwinan, dia dan Izham melayari bahtera perkahwinan dengan bahagia sebelum dia disahkan mengandung.
“Perkahwinan kami baik-baik sahaja sehingga suami mula berubah ketika kandungan saya masuk usia tujuh bulan.
“Perangai dia bertukar apabila kerap tidur dan malas bekerja selain mudah naik angin,” katanya.
Perubahan sikap
Cerita Syaini lagi, punca perubahan pada suaminya itu terbongkar apabila dia ternampak suaminya mengambil syabu di dalam bilik rumahnya.
“Saya ada menegur perbuatannya tetapi dia tidak boleh terima dan akan mengamuk setiap kali saya melarangnya mengambil dadah.
“Saya cuba bertahan selama hampir lima tahun dengan harapan suami akan berubah tetapi nampaknya masalah ketagihan dadah dia semakin parah,” katanya.
Ujarnya, suaminya kerap berhalusinasi dan sering bercakap sendirian dengan butir kata yang tidak difahaminya.
“Paling teruk, dia pernah mengambil syabu di hadapan anak perempuan kami dan apabila saya menegur perbuatannya, dia bangun dan terus menumbuk dada serta menampar muka serta kepala saya,” katanya.
Kata Syaini, suaminya juga pernah memukulnya tanpa sebab sambil menuduh dia mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
“Pada suatu ketika, suami yang baru bangun tidur tiba-tiba terus melafazkan talak kepada saya. Dia melafazkan talak itu kepada saya dua hari berturut-turut.
“Dia hampir melafazkan talak pada hari ketiga, namun sempat dihalang bapanya yang kebetulan berada di rumah,” katanya.
Tambah Syaini, dia kemudian merujuk kejadian tersebut kepada pejabat agama seterusnya mahkamah syariah untuk tindakan lanjut.
“Kami akhirnya disahkan bercerai oleh mahkamah syariah.
“Suami kemudian ada meminta untuk rujuk tetapi saya enggan kerana tidak mahu lagi hidup terseksa dengan seorang penagih dadah,” katanya.
Nota: Artikel ini ditulis bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya hanya untuk tujuan iktibar dan pengajaran semata-mata.