fbpx

MamaKerja inisiatif ringankan beban ibu bekerja di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANFAAL (tengah) hadir ketika Majlis Perasmian Khatam al-Quran Perdana Wanita Selangor di Shah Alam baru-baru ini.

KERAJAAN Selangor berhasrat menjadikan inisiatif MamaKerja sebagai program tahunan bagi meringankan kos wanita bekerja di negeri itu.

Exco Pemberdayaan Wanita, Anfaal Saari berkata, polisi insentif berkenaan sedang diperhalusi termasuk cadangan untuk mengembangkannya kepada suri rumah.

“Kita sekarang dalam perbincangan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk menjadikan MamaKerja sebagai program tahunan untuk membantu golongan Hawa di negeri ini.

“Namun, kriterianya akan diperhalusi lagi. Sebagai contoh, ada permintaan daripada suri rumah dan itu kita akan lihat,” katanya.

Anfaal berkata demikian ketika Majlis Perasmian Khatam al-Quran Perdana Wanita Selangor di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, hampir 4,000 permohonan diterima MamaKerja selepas dibuka pada 1 November tahun lalu dan bakinya akan dibahagikan kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jelasnya, setiap DUN bakal menerima 20 peruntukan dan wakil pusat khidmat masing-masing akan memilih wanita berkelayakan bagi mengisi permohonan MamaKerja menerusi aplikasi Selangkah.

“Selepas permohonan tutup, ada sedikit baki lagi dan kita bahagikan sama rata kepada setiap DUN, termasuk penyelaras DUN. Setiap DUN akan terima 20 permohonan,” katanya.

Inisiatif MamaKerja yang dibuka pada tahun lalu merupakan antara manifesto Kerajaan Perpaduan yang ditawar kepada rakyat Selangor pada Pilihan Raya Negeri tahun lalu.

AMIRUDIN

Melibatkan peruntukan RM5 juta, skim tersebut memanfaatkan 5,000 wanita bekerja yang memiliki sekurang-kurangnya tiga anak berusia bawah 12 tahun dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM8,000.

Sementara itu, Amirudin dalam satu kenyataan memberitahu, seramai 3,850 ibu bekerja di negeri itu menerima insentif MamaKerja RM1,000 setiap seorang.

Katanya, ia bagi meringankan kos penjagaan anak-anak sebagaimana yang terkandung dalam manifesto gabungan Kerajaan Perpaduan Selangor.

Jelasnya, pihaknya telah menerima ribuan permohonan untuk program berkenaan setakat Mac lalu.

“Kerajaan negeri menerima 5,595 permohonan untuk MamaKerja dan setakat Mac lalu, seramai 3,850 ibu bekerja telah menerima insentif ini.

“Bakinya kita sedang diteliti untuk pengesahan dokumen,” katanya.

Amirudin berkata, tinjauan dalam kalangan pemohon mendapati kos penjagaan anak menjadi cabaran terbesar bagi ibu bekerja.

Katanya, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada agenda ‘care-economy’ yang rancak dikembangkan.

“Ia seiring dengan usaha kerajaan membina Selangor sebagai sebuah negeri progresif yang mengangkat kebajikan rakyat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI