MASALAH asma dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia bukanlah isu baharu.
Sebenarnya, masalah itu telah menjejaskan kira-kira satu daripada sepuluh individu di negara ini.
Penghidap asma lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak berusia enam hingga 14 tahun yang tinggal di bandar.
Bersempena Hari Asma Sedunia yang disambut baru-baru ini, terdapat kemajuan penjagaan pediatrik bagi membolehkan pelan rawatan asma.
Ia merangkumi rawatan secara individu, perkembangan ubat-ubatan terbaharu dan pelan strategi pengurusan kolaboratif bagi meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak menghidap asma.
Pakar Perunding Pediatrik di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr. Angelina Amaladoss berkata, cara membezakan asma dan selesema adalah penting kerana simptomnya serupa, namun implikasi berbeza.
Menurutnya, selesema biasanya disebabkan oleh jangkitan virus dan menunjukkan simptom seperti demam mendadak, sakit badan, sakit kepala dan sakit tekak.
“Ia juga boleh menyebabkan masalah gastro usus seperti muntah atau cirit-birit.
“Gejala-gejala ini biasanya sembuh dengan cepat dan tidak memerlukan sebarang ubat.
“Sebaliknya, asma melibatkan simptom lebih lama mungkin dikaitkan dengan sejarah keluarga seperti resdung, ekzema dan atopi.
“Simptom batuk lebih ketara pada waktu malam, awal pagi dan ketika penat.
“Terdapat juga kemungkinan gejala semput, pernafasan yang cepat, sesak nafas, sakit dada serta tanda resdung dan ekzema,” katanya.
Tambahnya, mengenal pasti pencetus asma adalah sepenting memulakan rawatan yang sesuai.
Asma memerlukan pendekatan komprehensif untuk pengurusan berkesan, tidak seperti selesema.
Diagnosis awal dan tepat penting untuk mencegah komplikasi jangka panjang dan memastikan kualiti hidup kanak-kanak tidak terjejas.
Pendekatan terkini untuk penjagaan asma bergantung pada simptom dan pencetus khusus kepada kanak-kanak.
Menghurai lebih lanjut, Dr. Angelina berkata, rawatan asma disesuaikan untuk mengurangkan kesan sampingan dan menyasarkan paru-paru secara langsung.
“Dalam rawatan asma, tiada ‘one-suit-fits-all.’ Rawatan disasarkan khusus untuk paru-paru, berbanding yang diambil secara oral kerana akan menyebabkan lebih banyak kesan sampingan.
“Merawat masalah lain seperti resdung juga penting,” jelasnya.
Untuk kes asma teruk, ubat baharu dan teknik invasif minima merupakan kemajuan paling ketara.
Inhaler kekal sebagai rawatan utama, tetapi untuk kes lebih serius, rawatan antibodi monoklonal seperti omalizumab atau mepolizumab dan antagonis reseptor leukotriene (LTRA) digunakan untuk menguruskan gejala dengan lebih berkesan.
Dalam pada itu, mewujudkan persekitaran rumah yang harmoni sangat penting.
Untuk menguruskan gejala asma dengan berkesan, pendedahan kepada perengsa seperti asap rokok, vape, kemenyan, bulu haiwan, patung mainan dan permaidani harus dielakkan.
Dr. Angelina menekankan kepentingan kawalan persekitaran dan pelarasan gaya hidup untuk menyokong pengurusan asma.
Jelasnya, pelan pengurusan asma secara individu bukan sahaja menangani simptom dengan serta-merta, malah meningkatkan kualiti hidup jangka panjang bagi kanak-kanak.
“Asma yang dikawal dengan baik membolehkan kanak-kanak berkembang dalam akademik dan sukan, mengurangkan lawatan ke klinik serta meningkatkan produktiviti secara keseluruhan.
“Ramai ahli sukan antarabangsa termasuk David Beckham dan Paula Radcliffe mempunyai asma yang terkawal dan mereka berjaya dalam bidang sukan,” katanya.
Pengorbanan ibu bapa juga perlu dihargai kerana mereka mungkin terpaksa mengambil cuti kerja, kehilangan waktu bekerja berharga dan kehilangan produktiviti bagi menjaga anak asma.
Satu lagi aspek kritikal dalam menguruskan asma kanak-kanak adalah memahami sifat kroniknya dan memastikan pematuhan berterusan pada pelan rawatan.
Dr. Angelina memberitahu, asma tidak boleh diubati, walaupun ramai kanak-kanak tidak terjejas dengan sakit itu apabila mereka semakin tua.
Oleh itu, mematuhi rawatan dengan konsisten adalah sangat penting.
“Ramai pesakit menghentikan rawatan mereka apabila gejala berkurangan.
“Mematuhi rawatan yang ditetapkan adalah penting, walaupun tiada gejala,” katanya.
Tambahnya, pendekatan itu juga dapat membantu mencegah asma daripada berulang dan memastikan pengurusan jangka panjang.
Sementara itu, Dr. Angelina mengimbas kembali kes seorang budak lelaki berusia 8 tahun yang bergelut dengan batuk berterusan, terutamanya pada waktu malam dan awal pagi disertai hidung tersumbat selama enam bulan.
Menurutnya, disebabkan itu, kanak-kanak berkenaan tidak dapat ke sekolah, sekali gus menjejaskan prestasi akademiknya.
“Selepas penilaian menyeluruh, dia didiagnosis dengan asma bronkial dan resdung.
“Pelan rawatan termasuk bronkodilator dan kortikosteroid telah diberikan bersama semburan kortikosteroid hidung bagi membantu mengawal simptomnya,” jelasnya.
Tambahnya, dua minggu kemudian, kanak-kanak itu boleh meneruskan aktiviti seperti biasa dan menikmati kehidupan hariannya.
Perjalanan menguruskan asma kanak-kanak adalah rumit, namun terdapat banyak harapan hasil kemajuan dalam perubatan secara individu.