PETALING JAYA – Penubuhan Malaysia-China Institute (MCI) merupakan manifestasi usaha ke arah memperkuat hubungan dua hala antara Malaysia dan China.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama rentas negara antara institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) Malaysia dan China melalui MCI dapat mewujudkan kesinambungan program “Further Study” untuk peningkatan bakat kemahiran TVET di masa depan.
Sekali gus katanya, program itu akan membuka lebih banyak peluang untuk generasi muda meningkatkan kemahiran mereka dan memanfaatkan peluang pekerjaan yang lebih baik.
“Saya beriltizam untuk terus berusaha menyediakan program-program latihan yang relevan dengan industri bagi memastikan peluang pekerjaan yang lebih baik bagi generasi masa depan.
“Terima kasih atas sokongan yang berterusan. Mari bersama-sama memperkuat hubungan diplomatik dan meningkatkan kemahiran tempatan demi masa depan yang lebih cerah,” tulisnya di laman Facebook.
Terdahulu, dalam hantaran sama, Ahmad Zahid memaklumkan beliau telah melakukan kunjungannya ke Pusat Pendidikan Antarabangsa Kumpulan Beifang untuk menyaksikan beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani bagi merancakkan kerjasama antara Malaysia dan China dalam bidang pendidikan kemahiran.
Menurut beliau keberadaan 220 pemimpin utama Institusi TVET dan Industri China turut mencerminkan sokongan yang hebat terhadap bakat kemahiran TVET di Malaysia.
“Ini merupakan satu petanda positif untuk masa depan pendidikan kemahiran di negara kita.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Beifang Automotive Education Group, Tang International Education China dan Belia atas kerjasama yang telah membuahkan hasil positif dalam memberdayakan bakat-bakat TVET.
“Usaha ini selaras dengan pentingnya TVET dalam merapatkan jurang kemahiran,”katanya.-KOSMO! ONLINE