HANYA dalam tempoh beberapa minit sahaja penyanyi popular Amerika Syarikat (AS), Ariana Grande, berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM188,000 untuk disalurkan kepada rakyat Palestin.
Gerakan menerusi Instagram Story itu antara usahanya menggalakkan masyarakat dunia menunjukkan keprihatinan membantu penduduk Gaza yang berdepan sengsara akibat kekejaman Israel.
Tabung Bantuan Kanak-kanak Palestin itu secara tidak langsung membuktikan pengaruh bintang pop Amerika-Latin terbabit terhadap isu kemanusiaan yang tidak mengenal agama dan bangsa.
Sebelum ini, Grande juga menyatakan sokongan terhadap Palestin dengan menandatangani surat gencatan senjata untuk masyarakat Gaza yang dikenali sebagai ‘Ceasefire4Gaza’.
Surat tersebut, yang ditujukan kepada Presiden AS, Joe Biden, turut ditandatangani ramai selebriti lain termasuk Bella Hadid, Gigi Hadid, Drake, Dua Lipa, Andrew Garfield, Ben Affleck, Bradley Cooper, Channing Tatum, Florence Pugh, Frank Ocean, Jennifer Lopez, Jeremy Allen White, Joaquin Phoenix, Macklemore, Rachel McAdams dan Tom Hardy.
Gerakan dicetuskan penyanyi berusia 30 tahun itu meraih pujian ramai terutama aktivis pro-Palestin yang menganggapnya sebagai usaha penting dalam menyebarkan kesedaran mengenai penderitaan rakyat Palestin.
Mereka juga berharap bahawa wang sumbangan yang dikumpul dapat sampai kepada penduduk Gaza yang kini amat memerlukan sokongan dunia.
Sejak pencerobohan Israel ke atas Gaza bermula pada 7 Oktober tahun lalu, lebih daripada 36,000 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak dibunuh seperti dilaporkan kementerian kesihatan Gaza.
Di samping itu, sekurang-kurangnya lebih 80,000 rakyat Palestin cedera akibat pengeboman berterusan yang menyebabkan ramai kehilangan tempat tinggal dan mengalami kekurangan zat makanan. – KOSMO! ONLINE