PETALING JAYA – Orang miskin hidup susah kerana enggan bekerja kuat adalah satu tanggapan tidak benar dan perlu dilupuskan daripada minda masyarakat.
Pakar Ekonomi, Dr. Muhammed Khalid dalam sebuah podcast baru-baru ini berkata, kajian oleh UNICEF pada tahun 2018 menunjukkan orang miskin sebenarnya bekerja dalam tempoh masa yang lebih panjang berbanding orang kaya.
“Kita ingat orang miskin tidak bekerja kuat, tetapi itu adalah sesuatu yang tidak benar. Dulu, Profesor Diraja Ungku Aziz (Ungku Aziz) pernah berkata, orang yang berdisiplin dan kerja kuat adalah orang miskin.
“Mereka berani keluar pukul 4, 5 pagi dan naik bot untuk tangkap ikan. Sebelum subuh sudah bangun untuk toreh getah. Ini membuktikan orang miskin sebenarnya bekerja kuat dan berdisiplin,” jelasnya.
Menurut beliau, kajian yang dilakukan untuk melihat bagaimana masyarakat menangani kos sara hidup yang semakin tinggi juga mendapati orang susah akan kerja lebih masa untuk mendapatkan wang.
“Tetapi, ini berbeza dengan anak orang kaya. Mereka ini senang sahaja kalau hendak mendapatkan kerja atau biasiswa,” katanya.
Dr. Muhammed Khalid berkata, ada beberapa faktor yang menyebabkan seseorang itu miskin, salah satunya adalah faktor pendidikan.
“Faktor kedua pula adalah dari segi pengambilan makanan yang tidak berkhasiat. Ungku Aziz pernah berkata, kalau hendak seseorang itu pandai, pastikan dia makan makanan yang berkhasiat,” katanya.
Tambah beliau, orang kaya juga mempunyai kelebihan dari segi peluang dalam kehidupan, lebih-lebih lagi jika mereka berasal daripada keluarga yang berpengaruh.
“Faktor ketiga pula adalah peluang. Anak orang kaya dapat semua peluang. Fenomena ini kita panggil sebagai ‘oppurtunities hoarding’.
“Anak orang kaya boleh beritahu semua orang bapa dia kaya dan berpengaruh. Mereka boleh buat ‘networking’. Malah, bapanya juga boleh minta kawan-kawan ambil anaknya (bekerja),” jelasnya. – KOSMO! ONLINE