PETALING JAYA – Dua daerah di Pantai Timur iaitu Pasir Mas dan Kuala Krai, Kelantan dijangka menerima gelombang haba dengan suhu maksimum harian mencecah 40 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut sehingga Sabtu ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, status cuaca panas yang sama pada tahap dua itu turut melibatkan satu lagi daerah iaitu Besut di Terengganu.
“Dalam pada itu, kebanyakkan kawasan di Kelantan melibatkan Kota Bharu, Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang serta Dungun, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Setiu, Terengganu dijangka menerima cuaca panas dengan suhu mencecah 37 darjah Celsius.
“Cuaca yang sama itu turut berlaku melibatkan Daerah Utara di Perlis serta Padang Terap di Kedah.
“Selain itu, dua kawasan di Perak iaitu Hulu Perak dan Kuala Kangsar serta Rompin dan Raub, Pahang juga menerima suhu maksimum yang sama dengan status cuaca panas pada tahap berjaga-jaga,” ujarnya.
Bagaimanapun, hujan lebat dan ribut petir dijangka berlaku di beberapa tempat di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Berdasarkan MetMalaysia, cuaca buruk itu turut berlaku di Daerah Utara melibatkan kawasan pantai di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dan akan beransur reda sehingga tengah hari nanti.
Sementara itu, di bahagian Malaysia Timur pula, MetMalaysia meramalkan cuaca cerah dan tiada hujan di kebanyakkan kawasan melibatkan Sarawak dan Sabah. – KOSMO! ONLINE