DUA kekalahan Thailand kepada Malaysia pada Piala Dunia Sepak Takraw 2024 baru-baru ini sememangnya tidak boleh diterima skuad Gajah Perang tersebut.
Jurulatih Thailand, Suphaloek Kimthong merasakan peningkatan mendadak prestasi Malaysia mencetuskan amaran buat mereka menjelang Piala Raja Thai di Bangkok yang membuka tirai pada September nanti.
Tegas Kimthong, peningkatan mendadak permainan Malaysia boleh dilihat selepas mengatasi anak-anak buahnya dalam acara double dan regu.
“Saya akui pasukan sepak takraw Malaysia sememangnya membangun dan ia dapat dilihat pada Piala Dunia 2024 ini.
“Malaysia benar-benar meningkat dari segi perlawanan mereka. Jadi, saya rasa Thailand tidak boleh lagi kebelakang dan perlu tingkatkan kualiti permainan selepas ini,” kata Kimthong.
Dalam pada itu, Kimthong turut mengakui semakin serasi dengan sistem 15 mata dengan servis tunggal biarpun pada awalnya pemain mereka terpaksa mengambil masa untuk membiasakan dengan peraturan baharu tersebut.
“Peraturan baharu 15 mata dengan servis tunggal sangat sukar buat pemain saya tetapi lama kelamaan mereka dilihat lebih serasi bermain dengan sistem tersebut,” katanya.
Malaysia meraih emas dalam acara double apabila gandingan Aidil Aiman Azwawi dan Noraizat Nordin berjaya mengatasi beregu Thailand, Seksan Tubtong-Kittiphum Sareebut.
Aksi terbaik itu diteruskan dalam acara regu apabila trio emas negara dibarisi Farhan Adam, Syahir Rosdi, Azlan Alias (Haziq Hairul Nizam) mempamerkan prestasi menakjubkan dengan menumbangkan regu Thailand, Poramet Siriswat, Sittipong Khamchan, Varayut Jantarasena (Siriwat Sakha) menerusi keputusan 15-8, 15-12. – KOSMO! ONLINE