fbpx

K2

Berdosa ‘troll’ guna ayat al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUDAYA ‘troll’ menggunakan ayat al-Quran semakin menular dalam masyarakat. – Gambar hiasan

Apakah hukum seseorang melakukan ‘troll’ di media sosial dengan menggunakan ayat al-Quran seperti menulis ayat al-Quran menggunakan bahasa rumi atau Inggeris dengan tujuan meraih perhatian awam?

Jawapan: Hukum menggunakan ayat al-Quran sebagai suatu bentuk ‘troll’ adalah berdosa kerana ia merupakan satu bentuk penghinaan terhadap al-Quran.

Walaupun ia dilakukan atas tujuan hiburan, namun boleh jatuh hukum kufur jika jelas dengan tujuan menghina al-Quran. Mempamerkan adab dan akhlak yang baik tidak hanya terbatas di alam nyata, bahkan aplikasinya perlu pada alam maya lantaran media sosial sudah menjadi platform terbesar dalam kehidupan manusia.

Definisi ‘troll’ menurut Cambridge Dictionary merujuk kepada tindakan seseorang yang sengaja meninggalkan mesej menjengkelkan atau menyinggung perasaan di ruangan internet.

Ia bertujuan sama ada untuk mengganggu individu tertentu, meraih perhatian awam atau menimbulkan masalah.

Perlakuan seperti ini bukanlah perkara baharu dalam dunia media massa, bahkan ia telah menular dalam kalangan masyarakat.

Menjadi satu kebimbangan apabila tabiat buruk ini dikaitkan dengan perkara-perkara agama sehingga sampai kepada tahap mempersendakan.

Perbuatan ini mengingatkan kita kepada firman Allah SWT berkenaan golongan yang mengejek-ejek agama:

“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main.” Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” (Surah al-Taubah, 65)

Para ulama telah bersepakat mengkafirkan golongan yang memperlekeh, meremeh dan menghina al-Quran dengan apa jua cara dalam keadaan mereka mengetahui tentang pengharaman tersebut.

Antara jenis penghinaan terhadap al-Quran adalah meremehkan kandungan al-Quran atau mana-mana bahagian daripadanya, meremehkan mushaf dengan meletakkan ia pada tempat kotor, mendustakan hukum-hakam dan perkhabaran, menafikan perkara disabitkan, mensabitkan perkara ternafi atau meragui mana-mana daripada al-Quran.

Selain itu, Ibn al-Arabi memperjelaskan lagi bahawa setiap perkataan yang mempersendakan al-Quran, sama ada dilakukan dengan tujuan bermain-main atau dalam keadaan bersungguh-sungguh, maka hukumnya tetap menjadi kufur.

Apatah lagi, bila mana gurauan itu berkait hal-hal kekufuran, maka ia tetap menjadi kafir tanpa perselisihan ulama.

Menurut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, apa-apa perkataan dan perbuatan yang mempersenda, menghina, mencemuh atau menyebabkan dipandang hina ayat-ayat al-Quran atau hadis boleh disabitkan sebagai suatu kesalahan.

Hal ini tertakluk di bawah Seksyen 8. Mempersendakan, dll. ayat al-Quran atau hadis.

Sebagai pengguna media sosial, empat adab perlu dijaga. Pertama, mengeluarkan kenyataan dan kata-kata yang baik.

Kedua, tidak melakukan perkara sia-sia. Media sosial telah menjadi satu medan berinteraksi dan menyampaikan pelbagai informasi, justeru sebagai seorang Muslim menjadi satu tanggungjawab untuk menggunakan media ini sebagai medium memberi manfaat kepada semua.

Ketiga, menjaga percakapan dan perbuatan daripada perkara yang boleh menyakiti dan menjatuhkan maruah umat Islam.

Keempat, tidak menyokong dan mengikuti trend yang tidak baik. Penularan trend seperti ini sepatutnya tidak berlaku sejak daripada awal lagi.

Apatah lagi apabila ia melibatkan perkara yang bercanggah dengan ketetapan hukum syarak sehingga menjejaskan keimanan dan akidah seorang Muslim.

Kesimpulannya, ‘troll’ menggunakan ayat al-Quran merupakan satu perbuatan berdosa kerana dianggap sebagai menghina dan merendah-rendahkan al-Quran.
Perbuatan seperti ini tidak boleh dipandang enteng kerana berkemungkinan pelakunya boleh jatuh ke lembah kekufuran.
Jadi, selaku pengguna media sosial, kita seharusnya menjaga batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI