PERSIAPAN penyerang sensasi skuad hoki kebangsaan, Faizal Saari menghadapi Piala Negara-Negara FIH di Gniezno, Poland berlangsung 31 Mei hingga 9 Jun ini sedikit terjejas selepas mengalami kecederaan ketika sesi latihan.
Ia menyaksikan tonggak jentera serangan negara itu tidak dapat diturunkan pada aksi persahabatan menentang New Zealand kelmarin yang menyebabkan Malaysia tumpas 1-4 di Stadium Nasional di Gniezno kelmarin.
Bagaimanapun, pengendali skuad negara, Sarjit Singh tidak bimbang mengenai kecederaan Faizal dan yakin penyerangnya itu akan segera pulih.
“Bola terkena lututnya tetapi kecederaan itu tidak serius dan dia sepatutnya boleh pulih dengan segera,” kata Sarjit.
Mengulas mengenai kekalahan ke atas New Zealand, Sarjit berharap pemainnya dapat segera menyesuaikan diri dengan cepat terutama keadaan cuaca serta venue pertandingan.
“Saya bersyukur kerana kita tiba lebih awal di sini kerana pemain boleh menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca. Ia sangat panas di sini. Tambahan pula, permukaan padang agak tidak rata dan pemain tampak sukar untuk membiasakannya.
“Padangnya menggunakan rumput hijau gelap, tidak rata. Ia jauh berbeza dengan padang biru yang kita ada di Malaysia. New Zealand juga sukar menyesuaikan diri bermain di atas permukaan sebegini. Mereka tiba di sini lebih awal, sama juga Austria.
“Saya harap pemain dapat menyesuaikan diri. Untuk beberapa perlawanan, saya percaya akan ditentukan di padang ini. Walaupun tewas 1-4 kepada New Zealand, tetapi ia satu pengalaman berharga buat pasukan terutama enam muka baharu,” katanya.
Malaysia, No.13 dunia) diundi dalam Kumpulan B bersama Perancis (No.9), Pakistan (No.16) dan Kanada (ke-20), manakala Kumpulan A disertai tuan rumah, Poland (No.28), New Zealand (No.11), Korea Selatan (No.12), Afrika Selatan (No.14) serta Austria (No.19).
Speedy Tigers dijadualkan membuka tirai kejohanan bertemu Pakistan pada 31 Mei sebelum bertemu Perancis (2 Jun) dan Kanada (5 Jun).