PETALING JAYA – Tindakan pihak pengurusan penyanyi Indonesia Putri Ariani enggan menyambung semula wawancara dengan media tempatan selepas majlis pengumuman Walker World Tour 2024 sebagai tidak profesional.
Menurut wakil penganjur, perkara tersebut disampaikan bapa kepada penyanyi yang popular menerusi program America’s Got Talent (AGT) itu tanpa sebarang alasan walaupun media sudah menunggu hampir dua jam.
“Minta maaf, bapanya baru maklumkan Putri tak dapat bertemu media untuk menyambung semula sesi temu bual yang tertangguh tadi.
“Mereka pula tak maklumkan apa-apa, maaf,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online hari ini.
Pada sesi sidang media bersempena konsert DJ EDM tersohor Alan Walker yang dijadualkan berlangsung pada 22 Jun depan, pemilik nama sebenar Ariani Nisma Putri, 18, itu dipanggil sebagai penyanyi undangan.
Tidak sampai lima minit diwawancara, sesi temu bual terbabit terpaksa dihentikan selepas pengurusannya membawa penyanyi itu keluar dewan untuk makan selepas dikatakan tidak sempat bersarapan.
Namun wakil penganjur berjanji membawanya bertemu media semula bagi meneruskan wawancara yang tertangguh berhubung konsert di Sunway Surf Beach Sunway Lagoon, nanti.
Nama Putri Ariani dikenali ramai selepas menyertai pertandingan pencarian bakat, Indonesia’s Got Talent musim kedua yang disiarkan di stesen televisyen SCTV pada 2014.
Bakat penyanyi cacat penglihatan itu menjadi perhatian dunia selepas menghadiri uji bakat pertandingan AGT musim ke-18 untuk minggu kedua ketika membawakan lagu ciptaan sendiri, berjudul Loneliess.
Tuah menyebelahi Putri apabila juri sensasi, Simon Cowell memberikannya ‘golden buzzer’, sekali gus secara automatik melayakkannya mara ke pentas akhir pertandingan itu. – KOSMO! ONLINE