PUTRAJAYA – Ahli perniagaan yang juga anak kenamaan bergelar Datuk yang didapati bersalah membunuh eksekutif pemasaran, Chee Gaik Yap di Sungai Petani, Kedah 18 tahun lalu kekal ke tali gantung.
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Harmindar Singh Dhaliwal selepas menolak semakan hukuman mati Shahril Jaafar, 43, selaku pemohon.
Dalam penghakimannya, Hakim Harminder berpendapat, fakta kes menunjukkan kematian mangsa adalah luar biasa.
Ini kerana ia melibatkan kejadian rogol dan liwat yang dilakukan pada waktu siang di kawasan kunjungan orang ramai yang merupakan tempat selamat.
“Meskipun mahkamah mempunyai belas kasihan terhadap pemohon, panel berpandangan fakta kes adalah luar biasa kerana melibatkan keganasan yang menimbulkan kekecohan umum.
“Mahkamah tidak terikat dengan pandangan umum, bagaimanapun kami tidak boleh mengendahkannya, oleh itu permohonan ini ditolak dan hukuman mati dikekalkan,” katanya.
Dua lagi panel hakim yang turut bersidang ialah Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar selaku responden membantah permohonan itu atas alasan pendakwaan menepati prinsip ‘kes yang paling jarang di antara yang jarang berlaku’ yang mewajarkan hukuman mati dikekalkan.
Hujah beliau, kes tersebut luar biasa dan perlu dibezakan daripada kes-kes bunuh lain kerana kejadian keganasan melibatkan mangsa yang berjoging di tempat awam.
Menurut Mohd. Dusuki, pembunuhan itu dilakukan secara kejam apabila laporan forensik menunjukkan 50 kecederaan dialami mangsa termasuk pada kemaluan dan dubur.
Pada masa sama, penemuan kesan krim rambut pada kemaluan dan dubur yang digunakan sebagai pelincir, menolak pembelaan pemohon yang mendakwa perlakuan seks dilakukan secara sukarela.
Peguam Rosli Kamaruddin memohon mahkamah membenarkan semakan itu dengan alasan pemohon telah insaf dan ingin kembali kepada masyarakat dan berharap mahkamah memberi peluang kedua.
Pada 9 Ogos 2015, Mahkamah Tinggi Alor Setar menjatuhkan hukuman mati ke atas Shahril selepas didapati bersalah membunuh Gaik Yap, 25, (ketika kejadian) di Taman Ria Jaya, berhampiran Kelab Cinta Sayang pada pukul 5.30 petang,14 Januari 2006 dan 3.05 pagi keesokannya.
Pada 29 November 2016, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap Shahril.
Kes pembunuhan Gaik Yap mendapat liputan meluas selepas mangsa ditemui mati dipercayai dibunuh dan dirogol sebelum mayatnya ditemui pada awal pagi 15 Januari 2006 di kawasan berkenaan. – KOSMO! ONLINE