KOTA BHARU – Penantian selama 10 tahun seorang pemuda orang kelainan upaya (OKU) untuk memiliki MyKad akhirnya tercapai apabila dia menerima dokumen pengenalan diri itu menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini.
MyKad milik Afiq Aiman Muhamad , 22, itu diserahkan oleh Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias kepada bapanya, Muhamad Abdullah, 68, di rumah mereka di Kampung Chenok, Batu 8, di sini.
Muhamad berkata, Afiq Aiman lumpuh seluruh badan selepas mengalami cirit-birit ketika berusia 13 bulan hanya mempunyai Sijil Kelahiran kerana dia tidak berupaya untuk membawa anaknya mendaftar MyKad di JPN.
“Saya telah dibantu oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk memohon kad pengenalan pada bulan lalu. Alhamdulillah, pihak JPN datang ke rumah bagi menyelesaikan urusan berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Mekar Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Chenok, Batu 8, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE