PETALING JAYA – Seramai 10,160 calon yang tidak hadir menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh memohon untuk menyambung pengajian di 232 cawangan GiatMara seluruh negara.
Menurut Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) yang ditawarkan di institusi itu dapat membantu pelajar mengasah kemahiran hingga ke peringkat tertinggi.
Beliau berkata, GiatMara juga mengenal pasti bidang-bidang baharu yang diperlukan dalam pasaran seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT), robotik, kenderaan elektrik (EV), kenderaan teknologi hijau (REV) dan banyak lagi.
“Ini semua dilakukan dengan kerjasama rapat dengan pemain-pemain industri agar tenaga mahir yang dilatih di GiatMara terjamin peluang pekerjaan.
“Malah, GiatMara juga sedang membuat kajian secara holistik terhadap semua program agar berdaya maju dan mampu menyediakan tenaga mahir mengikut piawaian pasaran dan industri di peringkat antarabangsa,” katanya.
Jelasnya, perkara tersebut selaras dengan saranan Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Zahid Hamidi untuk memastikan TVET menjanjikan gaji premium kepada anak muda dan menjadi pilihan utama kerjaya masa hadapan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seramai 10,160 daripada 383,685 orang calon baharu SPM 2023 tidak hadir peperiksaan.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, pada peperiksaan tersebut hanya 373,525 calon SPM 2023 yang hadir.
Beliau berkata pihaknya memandang serius jumlah itu dan ia perlu ditangani dan diteliti agar langkah intervensi dapat dilakukan. – KOSMO! ONLINE