fbpx

JPJ keluar 707 saman dalam dua jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kenderaan perdagangan yang diperiksa dalam Ops Halangan di susur keluar Tol Juru, Seberang Perai malam tadi. Pix SITI NUR MAS ERAH AMRAN

SEBERANG PERAI – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 707 notis saman dalam tempoh kira-kira dua jam menerusi Ops Halangan di kedua-dua arah Plaza Tol Juru dekat Bukit Mertajam di sini malam tadi.

Operasi yang bermula pukul 8 malam itu membabitkan seramai 120 pegawai dan anggota pelbagai agensi termasuklah JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

Pengarah JPJ negeri, Adenan Md. Isa berkata, sebanyak 2,080 kenderaan persendirian dan kenderaan perdagangan yang menjadi sasaran operasi itu telah diperiksa dalam tempoh berenaan.

“Sebanyak 65 notis membabitkan kayu penyendal dikeluarkan terhadap pemandu kenderaan perdagangan.

“Kayu penyendal yang kebiasaannya dibawa pemandu bertujuan untuk disendal pada tayar kenderaan yang berhenti terutamanya di kawasan berbukit dan jalan tidak rata.

“Justeru, kita mahu ingatkan pemandu supaya jangan letak kayu penyendal di bawah treler kerana ia boleh terpelanting semasa kenderaan membelok sekali gus merisikokan pengguna lain yang akan terlanggar halangan atas jalan raya,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Antara notis lain yang turut dikeluarkan membabitkan kesalahan cermin gelap (229), tayar haus (47) serta kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik (35) manakala lapan pemandu turut dikesan positif dadah.

Sementara itu, Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS Malaysia Berhad, Mohd. Yusuf Abdul Aziz memaklumkan, sehingga November 2020, jumlah kemalangan jalan raya yang disebabkan objek menurun sebanyak 19 peratus tahun ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI