HULU TERENGGANU – Seorang suri rumah yang maut bersama anak perempuannya setelah motosikal dinaiki mereka merempuh sebuah lori muatan kayu balak di Kampung Durian Guling, Marang semalam sering termenung sejak akhir-akhir ini.
Kakak iparnya, Nurul Rasila Mohd. Rosli, 26, berkata, mangsa, Wan Nur Umira Wan Yusof, 22, juga berubah laku menjadi pendiam selain tiba-tiba mengidam makanan eksotik, udang kara.
“Anaknya, Nur Qaira Nadeera Mohd. Afiq, 2, juga kerap meragam sejak beberapa hari lalu. Tidak sangka itu tanda-tanda mereka berdua mahu pergi meninggalkan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di Felda Bukit Bading di sini semalam.
Wan Nur Umira dan Nur Qaira Nadeera maut apabila motosikal dinaiki mereka hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah lori yang diletakkan di tepi jalan di Kilometer 21 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran Kampung Durian Guling, Marang pukul 2.25 pagi.
Nurul Rasila berkata, hubungan dia dan Wan Nur Umira amat rapat kerana mereka menetap berhampiran di tanah rancangan terbabit.
Tambahnya, berita kemalangan yang meragut nyawa biras dan anak saudaranya itu diketahui apabila dimaklumkan suami Wan Nur Umira, Mohd. Afiq Abzah, 22, menerusi panggilan telefon pada pukul 2.30 pagi.
“Sebelum kejadian, dia menemani suaminya (Mohd. Afiq) yang bekerja di sebuah kedai makan di Kampung Gondang, Marang.
“Sewaktu kejadian, arwah Wan Nur Umira dan Nur Qaira Nadeera serta Mohd. Afiq dalam perjalanan pulang ke rumah di Felda Bukit Bading dengan menaiki motosikal berasingan,” ujarnya.
Nurul Rasila berkata, Allahyarham Wan Nur Umira meninggalkan anak sulung iaitu Nur Qasrina Naura yang kini berusia empat tahun.
Jenazah dua beranak itu selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Bading di sini selepas solat asar semalam. – KOSMO! ONLINE