fbpx

Ekuinas tambah RM100 juta dalam Dana Asas II

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ekuiti Nasio­nal Berhad (Ekuinas) menyediakan peruntukan tambahan dana sebanyak RM100 juta dalam Dana Asas II sebagai usaha untuk menyokong lebih banyak syarikat bumiputera berpotensi dan memiliki pertumbuhan tinggi dalam pasaran pertengahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Datuk Syed Yasir Arafat Syed Abd. Kadir berkata, dana ini menjadi tranche kedua bagi Dana Asas selepas ia dilancarkan pada Mac tahun lalu dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

“Ekuinas telah memulakan tahun 2024 dengan baik.

“Dalam usaha meneruskan momentum ini, kami akan mengu­kuhkan sokongan kepada le­bih banyak syarikat bumiputera berpotensi dan memiliki pertumbuhan tinggi dalam pasaran pertengahan menerusi Dana Asas II dengan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta,” katanya dalam kenyataan di sini.

Yasir Arafat menjelaskan, syarikat juga memperkenalkan Kredit Persendirian dengan dana diperuntukkan sebanyak RM800 juta yang mana melalui pinjaman tersebut akan memperluaskan kemudahan pembiayaan bagi menggandingi pelaburan ekuiti persendirian sedia ada.

“Ini adalah untuk menyokong pertumbuhan dan keperluan khusus syarikat-syarikat berpotensi pertumbuhan tinggi,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Ekuinas meng­anggap tahun 2023 merupakan tahun yang mencabar kerana kesan geopolitik dan makro ekonomi memberi tekanan terhadap ekonomi tempatan dan global.

Tambah Yasir Arafat, Ekuinas melaksanakan strategi serampang tiga mata yang mana syarikat melaburkan sebahagian besar daripada baki modal dalam Tranche IV dengan tumpuan terhadap sektor penjagaan kesihatan dan perindustrian.

Strategi kedua pula melaburkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada Dana Asas menje­lang akhir 2023 dan ketiga untuk menggalakkan penciptaan nilai dan momentum pertumbuhan bagi syarikat-syarikat portfolio sambil menempuh persekitaran ekonomi yang mencabar.

“Kami berjaya menyempurnakan beberapa urus niaga pada suku pertama tahun ini yang mana pelupusan 50.2 peratus pegangan kami dalam ICON Offshore Berhad pada Mac; pemerolehan 80 peratus Sym­biotica Speciality Ingredients Sdn. Bhd. (Symbiotica) pada April melalui modal daripada Dana Tranche IV dan ketiga adalah pelaburan dalam Mizou Hol­dings Sdn. Bhd. (Mizou) pada awal bulan ini melalui Dana Asas.

“Ini adalah pelaburan ke­dua bagi Dana Asas dan me­n­yempurnakan pelaburan seba­nyak 52 peratus daripada jumlah modal yang diperuntukkan bagi dana ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI