MANCHESTER – Pemilik bersama Manchester United, Sir Jim Ratcliffe, bertekad untuk mengubah prestasi pasukannya yang dianggap kurang memberangsangkan dengan melakukan beberapa perubahan terutamanya di barisan tengah pasukan tersebut.
Ratcliffe sudah merancang untuk menambah kekuatan pasukannya dengan membawa masuk pemain tengah baharu dengan pemain Juventus, Adrien Rabiot merupakan salah satu sasaran yang mungkin akan dibawa ke Old Trafford.
Rabiot telah mempamerkan aksi cemerlang di Serie A selepas mencetak lima gol dan tiga bantuan dalam 35 penampilan musim ini menjadikan beliau merupakan pemain yang disasarkan Ratcliffe untuk memperkukuh barisan tengah padang.
Rabiot yang merupakan pemain antarabangsa Perancis akan mengakhiri kontraknya dengan Juventus pada akhir bulan depan yang menjadikannya sasaran banyak pasukan yang tidak perlu menyediakan sebarang yuran perpindahan.
Selain itu, laporan juga mengatakan bahwa Newcastle turut menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat Rabiot dan siap untuk bersaing dengan The Red Devils untuk mendapatkan tandatangan pemain berusia 29 tahun itu.
Dalam pada itu, United juga dilapor sedang mengintai khidmat Amin Chiakha dari FC Copenhagen selepas pemain itu menunjukkan kecemerlangannya dengan mencetak 24 gol dalam 37 penampilan buat pasukan U-19 termasuk lapan gol dari sembilan perlawanan di Liga Remaja UEFA. – AGENSI