ALOR SETAR – Pasangan yang tular kerana membawa bayi memakai alat bantuan pernafasan ke hospital dengan menggunakan motosikal akan melangsungkan pernikahan di Masjid Al Maarufi di Seberang Kota, Kuala Kedah di sini hari ini.
Menurut Mohd. Azlan Ishak, 36, pernikahannya dengan Norhidayu Halim, 35, dijangka berlangsung pada sebelah petang ini dan dihadiri ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.
Katanya, mereka akan mengenakan pakaian nikah berwarna putih dengan majlis diadakan secara ringkas sahaja.
“Kami buat ringkas-ringkas sahaja, tiada hantaran cuma bagi mas kahwin RM1,000 dan sebentuk cincin emas sahaja. Kami juga bercadang untuk buat majlis kenduri kecil-kecilan sahaja di rumah keluarga pihak perempuan bulan depan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Qariah Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Kuala Kedah, Muhammad Hazamer Muslim berkata, kerjasama diberikan pasangan terbabit menyediakan semua dokumen diperlukan membolehkan majlis akad nikah tersebut dilangsungkan hari ini.
“Alhamdullilah semuanya hampir selesai, hari ini saya sendiri yang akan nikahkan mereka berdua. Bagi pihak masjid kami sudah sedaya upaya laksanakan tanggungjawab kami untuk membantu menghalalkan hubungan pasangan ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE