KOTA TINGGI – Seorang lelaki yang bekerja sebagai jurutera di Pengerang dilaporkan hilang selepas gagal dihubungi oleh ahli keluarganya sejak 10 hari lalu.
Muhammad Hamizan, 33, kali terakhir dilihat oleh rakan sekerja pada petang 18 Mei lalu.
Abangnya, Muhammad Haziq, 34, berkata, adiknya bertugas sebagai jurutera projek di Projek Perumahan Transit Penjawat Awam Pengerang dikatakan tidak datang bekerja pada 19 hingga 22 Mei.
“Pihak syarikat ada menghubungi adik saya, tetapi gagal. Kami juga ada menghubunginya, namun jawapan sama. Saya ada juga hubungi ahli keluarga dan rakan-rakan tetapi mereka juga tidak tahu di mana Hamizan berada.
“Saya pergi ke rumah sewanya di Taman Desaru Utama namun dia tiada, tetapi barang peribadi termasuk komputer riba dan pakaian masih ada, namun keretanya jenis Proton Saga tiada,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Jelas lelaki itu, dia dimaklumkan oleh pihak majikan, pakaian terakhir yang dipakai Hamizan adalah baju berwarna biru gelap dan berseluar jeans.
Ujarnya, laporan polis telah dibuat selepas usaha pencarian tidak membuahkan hasil. Semakan rekod imigresen mendapati Hamizan tidak ke luar negara.
“Adik saya tidak pernah hilang bahkan perwatakannya juga tidak berubah. Kami harap orang ramai yang ternampak Hamizan sila maklum kepada balai polis berhampiran. Cepatlah pulang kerana kami semua bimbang, ” katanya. – KOSMO! ONLINE