KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) memperkasa penyampaian perkhidmatan melalui pembangunan Pusat Informasi dan Data Analitik Sektor Pembinaan Nasional (NCIP) bagi meningkatkan keupayaan kerajaan membuat keputusan berasaskan fakta dan data.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, NCIP merangkumi dua sistem utama iaitu Centralised Regulations Repository (CRR) bagi dokumen perundangan dan National Construction Centralised Data Repository (NCDR) untuk analisis data raya di peringkat kementerian.
“Dengan adanya NCIP, kita lebih bersedia dengan proses perkongsian data yang lebih berkualiti dan berintegriti.
“KKR juga dapat mengeluarkan pelaporan statistik dan analisis bagi setiap aspek dengan mengambil kira trend dan (corak) berdasarkan data sedia ada,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra- Pelancaran CRR dan NCIP di Komplek Kerja Raya, di sini hari ini.
Kata Alexander, di bawah sistem CRR setakat ini, sebanyak 726 dokumen rasmi perundangan berjaya dikumpulkan di bawah lima kluster utama.
“Antaranya ialah garis panduan, pengurusan dasar umum, standard dan piawaian, peraturan dan kaedah serta pengurusan dan pentadbiran umum.
“Platform NCIP ini bersifat telus agar proses kerja KKR dan agensinya dapat memenuhi komitmen Kerajaan Persekutuan yang mengamalkan sikap keterbukaan di peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Tambahnya, sistem CRR sudah boleh digunakan untuk diakses orang ramai manakala NCDR dijangka siap sepenuhnya menjelang 2028.
“Apa yang kita lakukan hari ini adalah memperkasa penyampaian perkhidmatan dan mengurangkan karenah birokrasi dalam proses kerja seharian.
“Ini juga merupakan salah satu langkah persediaan pendigitalan sektor pembinaan secara keseluruhan,” katanya. – KOSMO! ONLINE