PETALING JAYA – Seorang pengantin lelaki menampilkan kelainan apabila mengenakan kostum Ultraman Taro sewaktu menjadi raja sehari pada majlis perkahwinannya.
Video tersebut dikongsikan oleh pengantin lelaki tersebut, Mohamad Zulhafizie Senin pada Facebook dan TikTok sekali gus mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai terutama peminat siri Ultraman.
“Alhamdulillah bersyukur saya jumpa isteri bercahaya yang cerah di langit dan bumi sehingga kedua-dua pihak keluarga kami memberi sokongan minat kami, sambil membuat majlis besar-besaran luar biasa untuk kami. Terima kasih, sayang isteri dan sayang semua sekeluarga,” katanya pada hantaran tersebut.
Sementara itu, orang ramai turut meninggalkan komen berseloroh mengenai Ultraman yang kini telah menamatkan zaman bujang.
“Akhirnya Ultraman berkahwin juga,” kata AP Garage.
“Nanti bolehlah dia cakap dekat anak macam ni, ‘bapak dulu Ultraman tau nak’,” komen Haiqal.
Sementara itu, tinjauan perkongsian video lain pada TikTok Mohamad Zulhafizie, lelaki tersebut yang berasal dari Miri, Sarawak merupakan peminat ‘cosplay’ selain mempunyai hobi mengumpul figura animasi dan permainan serta sering mengikuti acara berkaitan ‘cosplay’. – KOSMO! ONLINE