MEKAH – Doa Muhammad Ammar Che Noor Azam 18, memohon agar diberikan kejayaan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika mengunjungi Raudah dua minggu lalu akhirnya dimakbul selepas memperoleh 9A .
Malah, kejayaan tersebut lebih bermakna apabila keputusan cemerlang yang diterima serentak ketika berada di Mekah sebagai duyufurrahman.
Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong Utama Satu itu, dia sangat bersyukur dengan pengorbanan ibu bapa yang bukan hanya memberikan pelajaran terbaik, tetapi berusaha keras membawanya ke Tanah Suci untuk menunaikan haji.
“Masa pertama kali melihat keputusan, saya sangat gembira sebab tidak pernah sebelum ini mendapat ‘A’ dalam semua mata pelajaran.
“Apatah lagi ini merupakan satu kejayaan berganda untuk saya selepas dijemput Allah SWT untuk menjadi tetamunya mengerjakan haji di usia muda.Dalam masa yang sama Allah SWT terima doa saya di Raudah untuk mencatatkan kejayaan SPM 2023,”katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Ammar ketika ditanya tentang rahsia mencatatkan kejayaan cemerlang berkata, konsep persaingan sihat yang diterap bersama seorang pelajar sekelas berjaya membuahkan hasil.
“Sewaktu berada tingkatan empat dan baru lepas penularan wabak Covid-19, saya perlu belajar semula kerana banyak yang tertinggal.Maklumlah saya banyak ponteng apabila belajar dalam talian sehingga menyebabkan ada prestasi subjek menurun.
“Daripada situ saya dekati rakan sekelas bernama Soo Chi Jian yang merupakan pelajar pintar.Dia tidak jemu mengajar saya dan saya dengan sendirinya mempunyai motivasi untuk mencapai keputusan peperiksaan seperti dia,” jelasnya yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik.
Tambah Muhammad Ammar yang bercita-cita menjadi jurutera ataupun doktor, dia tidak mempunyai jadual khusus untuk mengulangkaji pelajaran ketika berada zaman persekolahan. – KOSMO! ONLINE