PETALING JAYA – Adik Allahyarham Allahyarham Nabil Zamanhuri, Madihah mendedahkan abang kesayangannya itu merupakan seorang yang sangat komited terhadap perkerjaan.
Katanya, Nabil rajin mencari rezeki untuk menyara keluarga sampai sanggup mengorbankan waktu cutinya sehingga kadang-kadang tidak cukup rehat.
“Dia sangat kuat bekerja. Dia terpaksa bekerja setiap hari walaupun pada hujung minggu dan kalau ada penggambaran selalu habis pukul 2 atau 3 pagi.
“Saya bukan ada maksudkan apa-apa. Kami semua prihatin tetapi sudah tentu, siapa yang boleh menghalang seorang lelaki rajin yang mahu mencari rezeki untuk keluarganya. Apa terjadi, tetap akan terjadi.
“Bayangkan masa cuti pun kena buat kerja dan tidak cukup tidur setiap hari. ‘Work life balance’ (keseimbangan hidup dan kerjaya) sangatlah penting,” katanya menerusi aplikasi X semalam.
Kongsinya lagi, pemergian abangnya secara tiba-tiba cukup memberi kesan kerana Nabil adalah orang yang banyak mengajarnya banyak perkara.
“Al-Fatihah buat abangku yang telah meninggal dunia pagi semalam (dua hari lepas). Orang yang mengajar saya cara bermain permainan video, bercakap dengan saya tentang filem sci-fi.
“Merupakan penyanyi dan penari berbakat semasa zaman mudanya.
“Begitu ramai orang datang menemuinya semalam mengatakan dia seorang yang baik,” jelasnya.
Ahad lalu, industri hiburan dikejutkan dengan pemergian Nabil Zamanhuri akibat serangan jantung.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua orang cahaya mata yang masih kecil.
Sebelum ini, Nabil mula menyertai industri hiburan sekitar tahun 2015 apabila muncul dalam program Mentor musim pertama yang mana dia berjaya menyandang tempat kedua dalam rancangan tersebut. – KOSMO! ONLINE