SINGAPURA – Semua anak kapal penerbangan Singapore Airlines (SIA) SQ321 yang berada di Bangkok susulan insiden golakan udara telah kembali ke Singapura, lapor saluran berita Channel News Asia semalam.
“Kami boleh mengesahkan bahawa semua anak kapal SQ321 sudah kembali ke Singapura,” kata SIA dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, setakat semalam kira-kira 52 penumpang masih berada di Bangkok, termasuk 34 orang yang menerima rawatan perubatan di hospital.
“SIA telah menghubungi penumpang dan anak kapal yang terlibat, termasuk mereka yang masih berada di Bangkok.
“Kami juga memudahkan perjalanan ke Bangkok untuk anggota keluarga dan orang tersayang mereka,” kata SIA.
SIA turut menyatakan bahawa pihaknya akan bekerjasama penuh dengan pihak berkuasa berhubung siasatan insiden tersebut.
Menteri Pengangkutan Singapura, Chee Hong Tat berkata pada Jumaat lepas bahawa pasukan penyiasat masih meneliti data daripada perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan untuk mengenal pasti apa sebenarnya yang berlaku pada hari kejadian..
Biro Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura (TSIB) di bawah Kementerian Pengangkutan turut menghantar pasukan penyiasatnya ke Bangkok. – AGENSI