PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) ambil perhatian berkenaan calon yang tercicir atau tidak hadir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan mengambil langkah segara dalam menangani masalah berkenaan.
“Antara langkah segera yang akan diambil KPM termasuk membuat pengesanan calon yang tercicir dan memberi peluang kepada mereka untuk mendaftar bagi menduduki peperiksaan secara ulangan.
“Intervensi ini telah dilaksanakan pada tahun lalu dan berjaya membuahkan hasil yang positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Fadhlina turut mengucapkan tahniah buat semua calon serta guru dan seluruh warga KPM yang telah berusaha keras memastikan peningkatan prestasi secara keseluruhan.
“Gred Purata Nasional (GPN) SPM 2023 adalah 4.60 dengan peratusan calon layak menerima sijil 93.5 peratus. Seramai 11,713 orang calon berjaya memperoleh gred semua A. Keputusan ini adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
“Dari segi kehadiran untuk menduduki peperiksaan, seramai 373,525 orang calon iaitu 97.4 peratus telah menduduki peperiksaan SPM 2023.
“Jumlah calon yang tidak menduduki peperiksaan telah berjaya dikurangkan sebanyak 1.2 peratus berbanding tahun lalu,” ujarnya.
Jelasnya, pencapaian ini adalah hasil intervensi yang dilaksanakan di setiap peringkat melibatkan Jabatan
Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak sekolah.
“KPM optimis keputusan membanggakan SPM 2023 adalah pemangkin dalam usaha berterusan mereformasikan pendidikan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE