KUANTAN – Seorang wanita menjadikan pengalaman dalam bidang taranum bagi berdepan dengan peserta muda ketika memperdengarkan bacaan dalam Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) tahun ini.
Normawaty Sahat, 51, berkata, usia bukan penghalang baginya untuk meneruskan minat menyertai pertandingan tilawah al-Quran kerana ia telah menjadi minatnya sejak berusia lima tahun.
Katanya, ini merupakan kali pertama dia memasuki tilawah al-Quran peringkat kebangsaan selepas lima kali melakukannya di peringkat negeri.
“Alhamdulillah rezeki dapat masuk. Saya anggap ia persaingan sihat ketika berdepan dengan peserta lain yang jauh lebih muda.
“Bagi memastikan saya mampu bersaing, saya amalkan beberapa tips untuk menjaga kesihatan dan suara seperti elak makanan pedas, minuman berais dan buah-buahan. Saya berlatih membaca al-Quran secara berlagu 30 minit sebelum dan selepas subuh,” kata peserta kelahiran Batu Berendam, Melaka itu.
MTHQK berlangsung selama lima hari bermula 23 Mei di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah di sini.
Menurut Normawaty, dia juga mengamalkan aktiviti berjalan kaki setiap hari bagi menjaga pernafasan memandangkan ia amat penting ketika mengalunkan bacaan al-Quran berlagu.
Tambahnya, ilmu al-Quran diperoleh daripada kedua-dua orang tuanya sejak kecil dan ia amat bermanfaat walaupun mereka kini telah tiada.
“Saya minat al-Quran sejak berusia lima tahun dan khatam buat pertama kali tiga tahun kemudian. Saya mula menyertai tilawah sekolah pada tahun lima sehingga berjaya mewakili negeri Melaka pada usia 12 tahun,” katanya.
Anak bongsu daripada lapan beradik itu berkata, arwah bapanya banyak memberi dorongan kepadanya dengan mengajarnya mengaji dan mengajaknya menonton tilawah di televisyen ketika kecil.
“Bagaimanapun, saya kembali aktif menyertai pertandingan tilawah pada usia 33 tahun, dan alhamdulillah berjaya menguasai tujuh taranum berlagu,” katanya.
Guru al-Quran itu bagaimanapun tidak meletakkan harapan tinggi dalam pertandingan itu, namun berharap dapat mempersembahkan bacaan yang terbaik.
Jelasnya, selagi Allah meminjamkan suara kepadanya, dia akan terus menyertai acara tilawah atau melatih serta membantu generasi muda untuk mempelajari al-Quran. -KOSMO! ONLINE