LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengkritik aksi tidak berdisiplin dipamerkan barisan pemainnya selepas seri 1-1 dengan Southampton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates awal pagi semalam.
Walaupun berjaya mengelak daripada tewas lima aksi berturut-turut di laman sendiri tetapi ia dicemari dengan insiden Gabriel dilayangkan kad merah dalam babak kedua sekali gus menyukarkan Arsenal memburu kemenangan pertama daripada enam perlawanan liga.
Lebih malang, ia adalah perlawanan kedua berturut-turut Arsenal terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Granit Xhaka diarahkan keluar padang sewaktu tewas 0-1 kepada Burnley minggu lalu.
“Saya tidak tahu punca sebenar pemain bersikap demikian apabila mempamerkan aksi yang tidak berdisiplin. Ini bukanlah kali pertama kerana situasi yang sama terjadi ketika kami tewas kepada Burnley.
“Momentum pasukan berada pada tahap terbaik sebelum Gabriel dilayangkan kad merah. Keputusan itu menjejaskan rentak pasukan yang sememangnya terdesak untuk memburu kemenangan,” kata Arteta.
Sebagai rekod, hukuman terhadap Gabriel itu adalah kad merah ketujuh dilayangkan kepada pemain-pemain Arsenal sejak Arteta mengambil alih tugas sebagai pengurus The Gunners pada Disember 2019.
Bagaimanapun, Arteta mengakui, salah satu aspek positif dalam perlawanan itu apabila kapten, Pierre-Emerick Aubameyang kembali menemui sentuhan jaringan dan berharap ia dapat meningkatkan semula tahap keyakinan dirinya.
“Gol Aubameyang telah meringankan tekanan dihadapinya selepas dikritik hebat sebelum ini. Saya tidak mahu dia cepat berpuas hati, sebaliknya terus bekerja keras membantu pasukan kembali ke tahap sebenar,” jelasnya. – AGENSI