KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melarang bekas penulis blog, Papagomo membuat sebarang komen melibatkan pertuduhan berkaitan kenyataan menghasut untuk mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Hakim Datuk Noorin Badaruddin mengeluarkan perintah larangan bersuara terhadap Papagomo atau nama lengkapnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris, 41, selepas membenarkan permohonan semakan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.
“Mahkamah mengeluarkan perintah larangan bersuara agar responden tidak membuat sebarang komen sehingga kes selesai. Larangan hanya berkaitan pertuduhan ini sahaja,” katanya ketika menyampaikan keputusan itu.
Sebelum ini, pihak pendakwaan memfailkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 Mei yang menolak permohonan agar Papagomo dikenakan perintah larangan bersuara.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh berhujah, perintah larangan itu penting bagi menghalang kekecohan akibat komen yang dikeluarkan yang menyentuh pertuduhan terhadapnya.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berhujah agar semakan itu ditolak atas alasan permohonan itu tidak menyertakan butiran terperinci berhubung kesan kepada ketenteraman awam jika larangan bersuara tidak dikenakan terhadap anak guamnya.
Pada peringkat itu, Hakim Noorin mencelah dengan menyatakan apa akan berlaku jika orang awam mengeluarkan komen mengenainya sehingga menimbulkan provokasi umum.
“Risikonya tetap ada meskipun hingga kini tiada yang memberi komen atau mengeluarkan kenyataan selepas pertuduhan dikenakan terhadapnya,” demikian ujar Hakim Noorin.
Mengikut pertuduhan, Wan Muhammad Azri didakwa menerbitkan penerbitan menghasut di laman X miliknya atas nama `Sir Azri’ berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. mengadap Sultan Ibrahim.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang, di sini, pukul 12 tengah hari pada 29 April lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE