KUALA SELANGOR – Kerja-kerja penggantian dan penyelenggaran tiga peralatan termasuk injap di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) terpaksa dilakukan kerana sudah berusia 30 tahun.
Ini melibatkan dua injap bersaiz 1,350 dan 1,450 millimeter (mm) yang rosak di pam air terawat Matang Pagar dan penyelenggaraan switchgear 6.6 dan 33 kilovolt di rumah pam air terawat LRA SSP1 bagi memenuhi keperluan Suruhanjaya Tenaga (ST).
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, kerja-kerja itu ditangguhkan dua kali sebelum ini kerana perayaan termasuk Aidilfitri.
Katanya, ini adalah penggantian pertama terutama melibatkan dua injap itu yang digunakan selama 24 jam sehari sejak tahun 90-an.
“Ini adalah major (keutamaan) sebab melibatkan penggantian injap baru seterusnya akan menyebabkan penutupan atau henti tugas pada LRA SSP1. Jadi, tiada cara untuk mengelakkan atau menangguhkannya lagi.
“Usianya sudah lebih 30 tahun. Kita sentiasa melakukan teknikal audit dalam memastikan yang rosak akan diganti,” katanya pada sidang akhbar di lobi LRA SSP1, hari ini.
Beliau menjelaskan, kos penggantian dan penyelenggaran tiga komponen itu akan melibatkan kos sebanyak RM500,000.
“Kita telah buat jangkaan masa agar penangguhan tersebut tidak menyebabkan kesan yang lebih besar (gangguan bekalan air). (Tiada) waktu penggantian sesuai sebab libatkan penutupan loji. Namun, kita cari keadaan yang sangat minima mungkin,” katanya.
Izham pada masa turut memaklumkan dua buah LRA iaitu Rantau Panjang dan Semenyih turut akan ditutup pada hujung tahun atas kerja-kerja yang sama namun akan diminimunkan dengan bantuan penyaluran air dari LRA Langat 2.
Sementara itu, Pemangku Pengarah merangkap Ketua Operasi dan Pengagihan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Kelvin Siew Weng Hoe berkata, penutupan LRA SSP1 akan memberikan kesan gangguan air berjadual terhadap 664 kawasan di tujuh buah wilayah kesemuanya.
Wilayah paling tinggi terkesan adalah Kuala Selangor dengan 175 kawasan diikuti Gombak (150 kawasan), Petaling (149 kawasan), Kuala Lumpur ( 118 kawasan), Hulu Selangor (31 kawasan), Klang (29 kawasan) dan Shah Alam (12 kawasan).
“Anggaran pengurangan pengeluaran akibat kerja-kerja tersebut adalah sebanyak 404 juta liter. Tempoh masa keseluruhan gangguan pula selama 51 jam bermula 9 pagi pada 5 Jun ini sehingga 12 tengah hari pada 7 Jun depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE