LONDON – Pemain sayap Southampton, Theo Walcott mengkritik Arsenal apabila mendakwa barisan pemain bekas kelabnya itu beraksi dalam keadaan ketakutan sewaktu seri 1-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates awal pagi semalam.
Walcott yang menjaringkan gol buat Southampton pada aksi tersebut, turut menyifatkan The Gunners tidak berada dalam prestasi terbaik selepas tewas empat perlawanan liga berturut-turut di laman sendiri sebelum ini.
Kata Walcott, corak permainan ditampilkan Arsenal sangat janggal selain barisan pemain juga tidak memiliki keyakinan seperti yang sepatutnya ditunjukkan apabila mewakili pasukan gergasi.
“Secara jujur, saya dapat hidu ketakutan dalam pasukan Arsenal dan ia adalah sesuatu yang cukup pelik. Kami juga tidak berpuas hati apabila gagal meraih tiga mata penuh terutama selepas pasukan lawan dilayangkan kad merah pada babak kedua,” kata Walcott.
Sementara itu, pengurus Southampton, Ralph Hasenhuttl berpuas hati dengan persembahan barisan pemainnya kerana menyifatkan ia bukan sesuatu yang mudah dapat mengutip mata apabila bertemu lawan seperti Arsenal.
“Saya rasa keputusan seri adalah adil buat kedua-dua pasukan dan saya sangat berpuas hati dengan apa yang telah dipamerkan pemain dalam perlawanan ini.
“Arsenal kali ini beraksi lebih baik berbanding musim lepas apabila berjaya memberi tekanan kepada kami meskipun beraksi dengan 10 pemain,” kata pengendali kelahiran Jerman itu. – AGENSI