ROM – Pelumba pasukan UAE Team Emirates, Tadej Pogacar menepati ramalan apabila menjuarai saingan Giro d’Italia pada debut perlumbaannya selepas menamatkan pusingan terakhir di Rom, Itali awal pagi tadi.
Pogacar, 25, berjaya merakam masa sembilan minit 56 saat lebih pantas daripada pemenang tempat kedua, Daniel Martinez dari pasukan Bora–Hansgrohe dalam carta keseluruhan pelumba.
Tempat ketiga menjadi milik pelumba Great Britain, Geraint Thomas yang mewakili pasukan Ineos Grenadiers selepas mencatat masa 10 minit 24 saat di belakang Pogacar.
Secara keseluruhan, Pogacar berjaya memenangi enam daripada 21 peringkat perlumbaan Giro d’Italia sekali gus menambah koleksi kejuaraannya yang sebelum ini pernah memenangi dua Tour de France.
“Saya tidak dapat menggambarkan dengan kata-kata terhadap kejayaan ini. Ia begitu sukar untuk diungkapkan, tetapi perasaan ini sangat istimewa dan cukup indah.
“Banyak kenangan manis di sini yang mana saya dapat menikmati keindahan sepanjang perlumbaan Giro. Saya tidak nafikannya dan kejayaan ini membakar semangat untuk saya meraih lebih lagi pada masa depan,” kata Pogacar.
Bintang dari Slovenia itu berpeluang menjadi pelumba pertama untuk menjuarai kedua-dua perlumbaan berprestij Giro dan Tour de France yang akan membuka tirainya 29 Jun ini sejak Marco Pantani melakukannya pada 1998.
Pelumba pilihan Denmark dari pasukan Visma-Lease a Bike, Jonas Vingegaard menjuarai dua edisi terakhir Tour de France, tetapi dijangka berdepan kesukaran kali ini disebabkan kecederaan akibat kemalangan dialaminya pada April lalu. – AGENSI