fbpx

Malaysia enggan jadi pelengkap Piala Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD hoki dalam dewan negara disambut meriah selepas pulang sebagai naib juar Piala Asia. - MHC

SKUAD hoki dalam dewan lelaki negara enggan sekadar menjadi pasukan pelengkap di pentas Piala Dunia 2025, sebaliknya prestasi sebagai naib juara benua Asia seharusnya menjadikan mereka mampu memberikan tentangan sengit di Porec, Croatia tahun depan.

Bagaimanapun, ketua jurulatih hoki dalam dewan negara, Mohd. Rodzhanizam Mat Radzi menjelaskan bahawa skuad kendaliannya berharap untuk berada dalam program latihan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) selepas melakar kejayaan bersejarah tersebut.

“Saya berharap KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MSN dapat memasukkan hoki (dalam dewan) dalam program latihan supaya mereka mendapat persediaan rapi sebelum bersaing di Piala Dunia kerana kita akan bertanding dengan 10 pasukan terbaik dunia.

“Jadi bila kita pergi ke sana, kita ada persediaan yang bagus. Sekurang-kurangnya kita ada pencapaian di sana dan tidak dibelasah teruk dalam perlawanan.

“Bila kita dah dapat keputusan sebegini, kita harap KBS, MSN akan beri lebih fokus kepada kita. Mungkin akan ada bajet tambahan untuk pasukan hoki dalam dewan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pagi tadi.

Beliau turut menjelaskan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) telah mengenal pasti beberapa lokasi sekitar Lembah Klang yang akan dijadikan pusat latihan baharu kerana mereka hanya menjalani latihan di Pusat Transformasi Bandar, Sentul, Kuala Lumpur.

“Kami berharap tempat yang telah dikenal pasti dapat disiapkan secepat mungkin untuk kita mula menjalani latihan di sana kerana pusat latihan baharu mempunyai fasiliti yang lebih baik dan lengkap.

“Jadi, bila kita dapat tempat yang khusus buat pasukan menjalani latihan, banyak perkara yang kita boleh lakukan untuk persediaan,” jelas Rodzhanizam.

Pada masa sama, Rodzhanizam juga menyatakan pasukannya wajar diberikan insentif susulan pencapaian membanggakan selepas menempah tiket ke temasya berprestij dunia tersebut.

Difahamkan, Speedy Tigers akan berehat selama seminggu sebelum meneruskan persiapan untuk menggalas cabaran di Croatia yang berbaki enam bulan bermula Februari 2025.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN