BANDAR GAZA – Tentera Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai baharu terhadap berpuluh-puluh pelarian Palestin yang mencari perlindungan di bandar paling selatan Semenanjung Gaza, Rafah, lapor portal berita Al Mayadeen hari ini.
Tentera Israel mengebom kem pelarian yang berada di gudang agensi bantuan Palestin kelolaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) di Rafah. Kawasan itu merupakan zon selamat terakhir untuk penduduk Gaza.
Ini kerana tentera Israel telah memusnahkan kebanyakan kawasan yang menjadi kediaman penduduk di utara dan tengah Gaza.
Pejabat media pentadbiran Hamas di Gaza melaporkan bahawa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai dan mengerikan dengan menumpukan serangan ke atas khemah-khemah pelarian Palestin.
Kem pelarian itu menjadi sasaran tujuh peluru berpandu dan bom jenis berat.
Media kerajaan menjelaskan bahawa pengeboman itu menyebabkan lebih 40 orang syahid dan ramai lagi penduduk Palestin cedera.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, usaha mencari mangsa yang hilang di lokasi kejadian masih diteruskan. – AGENSI