MADRID – Pemain tengah Real Madrid, Toni Kroos memutuskan untuk bersara pada musim panas ini yang menyebabkan pasukan itu tepaksa mencari pengganti baharu dengan kini menilai bintang Manchester City, Rodri.
Kroos baru-baru ini mengumumkan akan bersara daripada kancah bola sepak profesional selepas tamat kempen Euro 2024 bersama Jerman sekali gus menandakan berakhirnya era kegemilangan beliau dalam arena sukan itu.
Menurut laporan, mana-mana pengganti yang berpotensi bukan sahaja perlu menyamai kemampuan Kroos tetapi juga harus menyesuaikan diri dengan gaya permainan Real dan memenuhi jangkaan tinggi daripada penyokong kelab.
Terdahulu, Kroos berpindah ke Real dari Bayern Munich pada 2014 sebelum menikmati karier gemilang apabila memenangi pelbagai gelaran termasuk Liga Juara-Juara Eropah sebanyak empat kali dan juga kejuaraan La Liga.
Kini, Real mengimpikan Rodri, tetapi juara La Liga itu sedar pemain tengah berusia 27 tahun tersebut merupakan sasaran yang hampir mustahil untuk dimiliki kerana beliau masih terikat dengan kontrak selama tiga tahun bersama City.
Disebabkan itu, Real turut mencari sasaran lain dan dilaporkan sedang mempertimbangkan Joshua Kimmich dari Bayern Munich selepas pemain berusia 29 tahun itu memasuki 12 bulan terakhir kontraknya.
Walaupun kontraknya hampir tamat, Bayern dijangka menuntut lebih daripada €60 juta (RM 297 juta) untuk melepaskan Kimmich.
Difahamkan, Real tidak akan membayar jumlah tersebut, sebaliknya membiarkan kontrak pemain tengah itu tamat dan berpindah secara percuma ke Santiago Bernabeu pada musim panas akan datang. – AGENSI