fbpx

Undian di Paris penentu nasib badminton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMIDIN (tengah) ketika mengadakan pertemuan dengan atlet-atlet negara yang sudah layak ke Olimpik Paris 2024 di sebuah hotel di sini, hari ini. - AMIR KHALID

PETALING JAYA – Badminton masih dianggap sebagai salah satu prospek yang mampu menghadirkan pingat emas pertama negara pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan membuka tirai bermula 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Bagaimanapun, peluang untuk merealisasikan impian itu bergantung kepada keputusan undian yang bakal dibuat nanti, bukannya bersandarkan terhadap prestasi semasa ditunjukkan pemain-pemain.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, undian pada temasya sukan terbesar dunia itu nanti bakal menjadi penentu selain mengharapkan tidak bertemu pemain ternama di pusingan awal.

“Jika cakap pasal badminton, saya bersetuju dengan Tan Sri (Mohamad) Norza Zakaria untuk melihat kepada tuah pada undian nanti. Bagi saya, undian itu sangat mustahak, tidak kira dalam acara perseorangan mahupun beregu.

“Bagi saya, badminton masih berada dalam posisi untuk ke suku akhir, separuh akhir dan akhir. Kadang-kadang ada pemain yang kuat berjumpa sesama sendiri di peringkat awal, jadi sebab itulah undian sangat penting,” katanya.

Hamidin berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan atlet-atlet negara yang sudah melayakkan diri ke Olimpik Paris, di sebuah hotel di sini, hari ini.

Antara atlet yang hadir adalah Mohammad Aniq Kasdan (angkat berat), Johnathan Wong (menembak), Nur Aisyah Mohammad Zubir (berbasikal lebuh raya) dan Khairulnizam Mohd. Afendy (pelayaran).

Mengulas aksi pemain-pemain negara ke Olimpik Paris pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters minggu lalu, Hamidin mengakui gembira, terutamanya dengan aksi perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang menjadi naib juara.

“Kita dapat tengok Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita) layak ke separuh akhir, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) ke suku akhir serta Zii Jia yang dilihat sudah kembali ke prestasi terbaik.

“Kita tahu semalam Zii Jia ada kecederaan kecil tetapi masih mampu berikan yang terbaik. Saya beritahu kepadanya, penyokong mengharapkan dia berjaya di laman sendiri tetapi jangan sampai memudaratkan diri,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI