JOHOR BAHRU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan tempoh masa yang agak panjang untuk melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap insiden serangan berdarah Balai Polis Ulu Tiram, di sini, 17 Mei lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sehubungan dengan itu berkata, justifikasi penahanan terhadap lima ahli keluarga suspek yang menyerang balai polis itu dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) adalah relevan.
Menurut beliau, perbuatan membunuh anggota pasukan keselamatan PDRM adalah satu perbuatan yang sangat serius.
“Lebih-lebih lagi reaksi Singapura memperketatkan kawalan keselamatan pintu masuk negara mereka susulan insiden ini.
“Jadi ke arah itu beberapa akta yang kita guna pakai misalnya pada peringkat awal penahanan kita guna akta kanun keseksaan dan tempohan tahanan (mengikut akta itu) belum dapat menyelesaikan semua urusan (siasatan).
“Berdasarkan magnitud kes ini, jadi pasukan polis memerlukan tempoh yang lama untuk menyempurnakan siasatan bagi memastikan isu keselamatan dan keamanan rakyat terjamin,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berkaitan justifikasi penahanan terhadap lima ahli keluarga suspek kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram ditahan mengikut Sosma.
Terdahulu, Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, mereka ditahan mengikut Sosma selepas tempoh reman tamat 24 Mei lalu.
Ujarnya, dibawah Sosma ini, Cawangan Khas Bukit Aman akan menjalankan siasatan manakala Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) masih juga akan meneruskan siasatan berkait Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api.
Sebelum ini tujuh individu termasuk lima ahli keluarga suspek berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang turut direman sama dibebaskan tanpa syarat, Rabu lalu.
Dalam kejadian serangan pada pukul 2.30 pagi 17 Mei lalu, dua anggota polis Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban manakala suspek berusia 21 tahun mati ditembak.
Tragedi itu turut mencederakan Koperal Mohd. Hasif Roslan, 38, terkena tembakan pada bahu dan pinggul.-KOSMO! ONLINE