Dalam kesungguhan masyarakat menambah harta bukan sahaja daripada aset tetap dan cair, simpanan wang, saham dan pelaburan pastinya tidak ramai yang memiliki kesedaran yang tinggi untuk menguruskan dengan baik.
Malah antara mereka gagal untuk membuat hibah dan wasiat sehinggalah mereka meninggal dunia, sekali gus ia akan memberi kesan kepada waris yang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan pelbagai lagi.
Lebih menyukarkan situasi apabila si mati tidak meninggalkan dokumentasi yang lengkap serta ahli keluarga dan saudara-maranya turut terjebak dengan konflik yang tidak baik sehingga menyebabkan urusan tuntutan harta pusaka tergendala bertahun-tahun.
Bersandarkan faktor tersebut, tidak hairanlah, harta pusaka yang tidak diuruskan di negara ini direkodkan sehingga lebih RM90 bilion dan ini menyebabkan satu kerugian yang besar kepada semua.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Harta Muslim Management Sdn.Bhd. (Harta Muslim), Shahrul Nizam Sabri, isu berkaitan dengan harta pusaka adalah satu perkara yang tidak boleh dielakkan dan ia perlu dilaksanakan dengan serius dan tidak boleh dilakukan secara ‘cincai’ serta sekadar sambil lewa.
“Bagaimana kita faham tentang isu kematian, sama ada cepat atau lambat, kita akan mati juga, jadi apa pun yang berlaku, waris perlu uruskan tuntutan harta pusaka, suka atau tidak, cepat atau lambat, waris kena uruskan harta pusaka,” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
KOSMO!: Trend sekarang semua bisnes telah melakukan transformasi ke arah digital, bagaimana dengan perkembangan terbaharu syarikat?
Shahrul Nizam: Kami telah bekerjasama dengan syarikat berasaskan teknologi maklumat (IT) untuk membangunkan sebuah aplikasi dan sistem yang mudah untuk membolehkan perkhidmatan secara online dilaksanakan.
Ia dijangka bermula akhir tahun depan. Dijangkakan 70 peratus perkhidmatan tertumpu kepada online dan bakinya secara manual.
Tambahan pula ada pelanggan kami yang tinggal di luar bandar dan kurang pendedahan IT, jadi sebahagian perkhidmatan masih dilakukan secara manual.
Bagaimana dengan tahap kesedaran orang ramai tentang pentingnya membuat wasiat sebelum meninggal dunia?
Boleh dilihat kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat di kawasan bandar tetapi masih berkurangan bagi mereka yang tinggal di kawasan kampung dan terpencil.
Perkembangan ini seiring juga harta yang dimiliki oleh orang bandar dan juga orang luar bandar serta orang kampung.
Orang kampung ada harta yang banyak mungkin dari segi tanah dan juga rumah tetapi mereka tiada hutang.
Bagi orang bandar, kadang-kadang kes mereka agak rumit sebab memiliki banyak harta pelbagai jenis seperti kereta, motosikal, saham, rumah, kedai dan juga hutang. Ada orang bandar ini memiliki jumlah nilai yang besar sehingga RM2 juta tetapi dalam pelbagai jenis aset.
Berapa ramai perunding syarikat?
Kami ada lebih daripada 100 perunding yang mana separuh daripada mereka adalah
perunding yang aktif dan mereka membantu syarikat
mempromosikan produk dan memberi khidmat nasihat 24 jam sehari di mana-mana sahaja.
Untuk kes tahun lepas, berapa banyak kes berhubung harta pusaka dapat diselesaikan?
Lebih kurang 30 kes dan nilaian hartanya pula lebih daripada RM20 juta.
Adakah syarikat berdepan dengan banyak kes pengurusan harta pusaka yang masih tertangguh, bagaimana cara untuk mengelak perkara tersebut berlaku?
Memang terdapat kes yang tertangguh disebabkan pelbagai faktor dan utamanya adalah dari segi dokumentasi.
Ini adalah perkara yang penting bagi semua untuk memiliki salinan rekod harta yang lengkap seperti surat perjanjian jual beli, sijil saham, akaun simpanan, geran tanah, kenderaan serta hutang yang tertunggak.
Ramai yang tidak menguruskan segala dokumen itu dengan baik dan suka letak di pelbagai tempat sehingga sukar bagi si waris mencarinya apabila sudah meninggal dunia.
Ada faktor lain?
Konflik dalam kalangan waris juga menyumbang kepada masalah tuntutan pusaka. Bila ini berlaku, urusan pentadbiran akan menjadi lebih sukar.
ebenarnya ada banyak faktor konflik ini berlaku, antaranya ada waris yang mempunyai kepentingan atas sesuatu harta dan jika tuntutan ini dibuat, dia bimbang kepentingan akan hilang.
Selalunya waris seperti ini tidak mahu beri kerjasama dengan baik dan sebolehnya dia cuba untuk menangguhkan urusan tersebut seberapa lama yang boleh. Oleh itu, mereka perlu mencari perdamaian agar semua waris dapat meneruskan kes tuntutan harta pusaka sehingga selesai.
Untuk menguruskan hal berkaitan harta pusaka, kita kena buat dengan cara yang betul mengikut hukum syarak yang ditetapkan. Kalau tidak bahaya mengundang, kerana kita mungkin akan mengambil hak orang lain atau kita termakan harta orang lain, Jika ini berlaku, kesannya sangat besar sehingga melibatkan kepada keturunan kita.
Apa nasihat Shahrul Nizam kepada masyarakat untuk mengelak perkara ini berlaku?
Jangan biarkan perkara tersebut bertangguh sehingga melibatkan bertahun lamanya. Sila dapatkan khidmat daripada mana-mana syarikat perunding yang mahir, berpengetahuan dan berpengalaman dalam bidang ini.
Bawa semua dokumen yang diperlukan dan jelaskan lebih lanjut tentang status harta pusaka, waris dan perkara lain yang berkaitan.
Apa yang penting adalah kita kena jaga hubungan kekeluargaan sedia ada. Jika berlaku konflik, selesaikan cara yang baik.
Apakah rancangan masa depan Harta Muslim?
Kami menyasarkan untuk menjadi sebuah syarikat amanah dalam tempoh lima tahun akan datang, tetapi dalam usaha kami yang aktif dan perancangan yang dibuat, ia mungkin akan dicapai lebih awal iaitu dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.
Melaluinya, kami akan dapat meluaskan pasaran dan menawarkan lebih banyak produk di pasaran serta menambah jumlah pelanggan.
Untuk mencapai misi tersebut juga, kami sedang giat membina jenama dan reputasi serta menambah nilai modal untuk mengukuhkan keyakinan pemegang saham bagi merealisasikan misi itu. -KOSMO! ONLINE