ALOR SETAR – Perasaan tidak sedap hati seorang wanita apabila anjing peliharaannya menyalak dan enggan pulang selepas terhidu sesuatu membawa kepada penemuan satu mayat di Taman Derga Jaya, di sini malam tadi.
Menurut penduduk, Lee Ming Ching, 51, dia menemui mayat lelaki berusia 58 tahun itu dalam keadaan terlangkup di dalam longkang kira-kira pukul 7 malam.
Katanya, ketika kejadian dia bersiar-siar di kawasan tersebut dengan membawa seekor anjing.
“Anjing menghidu sesuatu sebelum mengorek tanah di kawasan tersebut. Saya ingat anjing mengesan biawak sebelum saya tarik tali untuk pulang, namun anjing enggan dan bawa ke kawasan longkang.
“Saya membuka besi penutup longkang besi dan terkejut apabila ternampak satu mayat lelaki dalam keadaan terlangkup di dalam longkang itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini malam tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, sebelum keluar dari rumah kira-kira pukul 3.30 petang semalam, mangsa dikatakan menyerahkan semua barang peribadinya termasuk dompet dan kad bank kepada isterinya.
“Mangsa juga dikatakan mempunyai sejarah sakit Parkinson dan mengalami masalah mental sejak kira-kira 13 tahun lalu. Hasil pemeriksaan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya. – KOSMO! ONLINE