KUALA LUMPUR – Hasrat perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia untuk meraih gelaran sulung di laman sendiri tidak tertunai selepas tewas pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters sebentar tadi.
Pada perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Zii Jia terpaksa akur tewas 6-21, 22-20, 13-21 selepas pertarungan sengit menentang pemain No.1 dunia dari Denmark, Viktor Axelsen.
Bekas juara Asia dan All England itu memulakan aksi final tersebut dengan langkah longlai apabila membenarkan Axelsen menguasai sepenuhnya perlawanan sebelum memastikan kemenangan mudah 21-6 di set pertama.
Tersentak dengan kekalahan itu, Zii Jia kembali memperkemaskan permainan di set kedua, namun masih menerima tentangan sengit Axelsen sebelum menang 22-20 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Bagaimanapun, penguasaan Axelsen tidak dapat disekat lagi di set ketiga apabila juara dunia dua kali itu mula mempamerkan prestasi sebenar sebelum memastikan kejuaraan menjadi miliknya menerusi kemenangan 21-13.
“Satu pengalaman yang sangat bagus untuk saya sepanjang dua minggu ini selain banyak belajar. Saya cuma berikan yang terbaik pada perlawanan hari ini dan perlu terima keputusan.
“Jika saya cergas sepenuhnya sekali pun, belum tentu boleh menewaskan dia kerana Axelsen seorang pemain yang sangat berpengalaman. Memang tidak puas dengan keputusan ini tetapi perlu akur,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.
Dalam perkembangan sama, beregu lelaki Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen merangkul kejuaraan selepas mencatat kemenangan 21-18, 21-14 ke atas pasangan Korea Selatan, Jin Yong-Na Sung Seung.
Sementara itu, gelaran perseorangan wanita menjadi milik pemain China, Wang Zhi Yi yang menewaskan P.V. Sindhu dari India dengan aksi tiga set 21-16, 5-21, 21-16 dalam tempoh 79 minit.
Dalam acara beregu wanita, pilihan utama dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi memastikan kejuaraan selepas dipaksa berhempas pulas menewaskan pasangan Korea Selatan, 17-21, 21-19, 21-18.
Goh Soon Huat-Shevon Lai pula memastikan Malaysia muncul juara beregu campuran buat kali pertama sejak 2017 selepas berjaya menewaskan pilihan ketiga dari Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 21-18, 21-19.
Sebagai rekod, juara dalam acara perseorangan pada kejohanan itu membawa pulang hadiah wang tunai AS$31,500 (RM148,191) berserta trofi manakala naib juara meraih AS$15,960 (RM75,083) dan juga trofi.
Dalam pada itu, pemenang bagi acara beregu menerima hadiah wang tunai AS$33,180 (RM156,095) berserta trofi sementara naib juara merangkul AS$15,960 (RM75,083) dan trofi. – KOSMO! ONLINE