fbpx

Thailand sekat hajat Malaysia lakar hatrik di Piala Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Impian Malaysia untuk menamatkan kemarau kemenangan 33 tahun menumbangkan Thailand dengan kali terakhir melakukannya pada tahun 1991 di Sukan SEA Manila, Filipina terus berpanjangan.

KUALA LUMPUR – Impian pasukan sepak takraw negara untuk melakar kejayaan hatrik di pentas Piala Dunia Sepak Takraw 2024 tidak kesampaian apabila skuad regu berpasukan negara tumbang 2-1 kepada seteru utama mereka, Thailand di Stadium Titiwangsa, hari ini.

Kekalahan itu menyaksikan impian Malaysia untuk menamatkan kemarau kemenangan 33 tahun menumbangkan Thailand dengan kali terakhir melakukannya pada tahun 1991 di Sukan SEA Manila, Filipina terus berpanjangan.

Biarpun tewas, barisan skuad sepak takraw negara ketika ini wajar dipuji selepas berjaya menjulang dua kejuaraan dunia menerusi acara double dan regu selain muncul selaku naib juara dalam acara berpasukan.

Dalam aksi final berpasukan itu, Thailand yang tekad menebus dua kekalahan ke atas Malaysia dalam acara double dan regu sebelum ini telah menurunkan barisan regu terbaiknya.

Bagaimanapun, skuad ‘Gajah Perang’ itu membuka saingan dengan langkah kiri apabila regu terbaiknya, Poramet Siriswat, Siriwat Sakha, Varayut Jantarasena tumbang ketika berdepan regu emas negara yang dianggotai Syahir Rosdi, Farhan Adam dan perejam terbaik negara, Azlan Alias menerusi keputusan 9-15, 15-11, 15-13 .

Thailand yang tersentak dengan kekalahan regu pertamanya berjaya mencari mata penyamaan 1-1 selepas Kritsanapong Nontakote, Wichan Temkort dan Pichet Pansan menewaskan trio Malaysia, Haziq Hairul Nizam, Amirul Zazwan Amir dan Noraizat Nordin menerusi keputusan 15-8, 15-5.

Perlawanan ketiga di Stadium Titiwangsa terus tertekan apabila Malaysia yang mengharapkan Zuhri Zain, Aidil Aiman Azwawi dan Baihakki Arippin untuk mencari mata penyamaan gagal terlaksana selepas tumpas straight set 12-15, 12-15 ketika berdepan regu Thailand, Pornthep Tinbangbon, Marukin Phanmakon dan Tanaphon Sapyen.

Kemenangan Thailand itu membuat mereka berjaya menebus maruah ekoran dua kekalahan dalam acara double dan regu terhadap Malaysia pada Rabu lalu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI