SEREMBAN – Pada usia tiga tahun, Muhammad Aqil Iskandar Mohd. Ashraf terpaksa menelan 11 biji ubat termasuk pil steroid selepas menderita penyakit buah pinggang dan darah tinggi.
Ibunya, Noor Athirah Abdullah, 25, berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu dikesan mengalami masalah buah pinggang bocor pada usia 18 bulan selepas matanya bengkak dan badan menjadi ‘kembang’.
“Aqil perlu memakan tujuh biji pil steroid, dua jenis ubat darah tinggi dan lain-lain ubat setiap hari,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Marida, Senawang di sini semalam.
Menurut wanita itu, tahap kesihatan anaknya kini semakin lemah tidak seperti kanak-kanak lain apabila tidak mampu berjalan dan bercakap dengan lancar.
Jelas Noor Athirah, pada 24 Mac lalu, Aqil dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tuanku Ja’afar selepas disahkan mengalami keracunan makanan dan buah pinggangnya tidak berfungsi.
Aqil kemudian ditidurkan di hospital tersebut dan perlu menjalani dialisis. Aqil masih kecil, dialisis hanya boleh dilakukan ketika dia ditidurkan. Selain itu Aqil juga mengalami sawan dan kehilangan banyak darah ketika berada di ICU,” katanya.
Noor Athirah memberitahu, ketika menjaga Aqil, dia dan suami yang bekerja sebagai kelindan lori beberapa kali diberhentikan kerja disebabkan keadaan anak mereka yang tidak menentu.
“Sekarang saya ambil tempahan buat kuih dan hantar di kedai bagi mendapatkan wang,” katanya yang memiliki empat anak berusia satu hingga tujuh tahun.
Tambah Noor Athirah, Aqil juga perlu meminum susu khas dan lampin pakai buang. Wanita itu turut menjaga datuk dan nenek serta menanggung adik bongsu yang masih belajar kerana ibu bapanya meninggal dunia.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi wanita itu di talian 018-9553236 atau menerusi akaun bank CIMB bernombor 7073181380.